top of page
  • Wartawan Nabalu News

40 peladang dari Penampang terima bantuan pertanian moden

Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

25 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Seramai 40 peladang dari Penampang menerima bantuan pertanian moden daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Yayasan Inovasi Malaysia.


Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berharap, semua usahawan tani yang menerima bantuan pertanian moden dapat mengembangkan perusahaan mereka.


“Sebagai wakil rakyat Penampang, saya juga harus menjadi sebahagian daripada usaha ini.


“Sebab itu, semasa kunjungan Pertubuhan Peladang dan Farm Tokou kepada saya sebelum ini, saya bersetuju menggunakan sebahagian daripada peruntukan Ahli Parlimen untuk melengkapan usaha mereka mengembangkan aktiviti pertanian dengan pendekatan lebih moden.


“Pada hari ini juga saya sumbangkan peruntukan sebanyak RM32,000 kepada Pertubuhan Peladang. Saya berharap ia dapat membantu mengembangkan lagi pertanian moden yang diusahakan di Penampang,” katanya.

Ewon bersalaman dengan para peserta program.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian MyIS Komuniti Projek Pertanian Moden bersama Komuniti Daerah Penampang, di Wisma IDS di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Arthur Joseph Kurup.


GE Nitrate Solutions atau Farm Tokou memperkenalkan “Projek Pertanian Moden Bersama Komuniti Daerah Penampang” di mana 100 komuniti yang terlibat diberikan bimbingan melalui kursus empat hari untuk mengusahakan pertanian moden berasaskan sistem akuaponik secara tersendiri.


Daripada jumlah peserta itu, 20 orang terpilih akan diberikan set pemula sistem akuaponik dan diberikan bimbingan serta kursus keusahawanan bagi memudahkan mereka menubuhkan perniagaan sendiri.

Antara objektif projek ini ialah untuk melahirkan komuniti celik pertanian moden di Penampang, memberi pendedahan ilmu berkenaan pertanian moden berasaskan akuaponik, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tanah dan penggunaan air yang tinggi dalam aktiviti pertanian dan penternakan.


GE Nitrate Solutions merupakan sebuah perusahaan sosial di Sabah yang ditubuhkan pada 2018, menggunakan nama branding Farm Tokou atau our farm.


GE Nitrate Solutions mengadaptasi pertanian berasaskan Akuaponik dan mempunyai elemen IoT Smart Farming di dalam operasinya. Pertanian akuaponik yang dipraktikkan oleh Farm Tokou adalah kombinasi pertanian akuaponik dan penternakan ikan air tawar di mana sisa daripada penternakan ikan akan diproses untuk dijadikan baja semula jadi bagi pertanian akuaponik.

Melalui kaedah ini, 90 peratus daripada penggunaan air dapat dikurangakan berbanding pertanian secara tradisional.


Selain menghasilkan sayur-sayuran organik. Farm Tokou juga aktif menganjurkan kursus-kursus pertanian moden kepada komuniti, ibu tunggal dan belia terutamanya golongan B40.

Comments


bottom of page