415 penduduk terima Geran Tanah
- nabalunews
- Aug 22, 2025
- 1 min read

21 Ogos 2025
SOOK: Seramai 415 penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri Negeri (DUN) Tulid menerima Geran Tanah dengan keluasan keseluruhan 839 hektar menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).
Daripada jumlah itu, 140 penerima menerima Geran Pantas melibatkan 207 hektar tanah, manakala 237 penerima mendapat Geran Deraf Biasa meliputi 86 hektar.
Manakala, seramai 36 penduduk lagi adalah penerima Geran Deraf Pantas dengan keluasan 544 hektar.

Penyampaian geran disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid Datuk Flovia Ng di Dewan Kampung Magatang pada Khamis.
Bercakap kepada media pada majlis itu, Flovia yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat menegaskan pemilikan tanah adalah warisan generasi akan datang.
Justeru katanya, penerima diingatkan agar tidak menjual tanah tersebut sebaliknya memanfaatkannya untuk projek pertanian serta meningkatkan pendapatan keluarga.
"Jangan jual tanah sewenang-wenangnya sebab ini adalah hak yang boleh diturunkan kepada anak cucu generasi seterusnya" tegasnya lagi.
Beliau juga menyeru kepada penduduk yang menerima geran ini agar terus mengusahakan tanah meningkatkan ekonomi dan taraf hidup keluarga.
Pada masa sama Flovia turut menekankan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah melalui Program Pantas yang mempercepatkan proses pengukuran dan pemilikan tanah, sekali gus membuktikan kerajaan serius membawa pembangunan ke pedalaman.
Sementara itu, para penerima menyatakan kesyukuran kerana penantian mereka selama berpuluh tahun akhirnya berbalas, sekali gus memberi peluang baharu untuk meningkatkan taraf hidup serta menjamin masa depan keluarga.















Comments