top of page

46 anggota Maritim Malaysia ke AS, bawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast 

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 1 min read

17 Julai 2025


KUALA LUMPUR: Seramai 46 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan berlepas esok ke Baltimore, Amerika Syarikat, bagi memulakan misi membawa pulang kapal EX-USCG Cutter Steadfast yang dijadualkan tiba di Malaysia pada November ini.


Pasukan berkenaan adalah kru pertama kapal berkenaan yang bakal menjadi aset baharu APMM, sekali gus dapat memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara khususnya di perairan Laut China Selatan.


Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menyifatkan misi itu sebagai satu sejarah yang membanggakan bukan sahaja kepada agensi tetapi juga negara.

"Misi ini bukan sekadar pelayaran biasa. Ia simbol pengiktirafan antarabangsa kepada keupayaan dan profesionalisme Maritim Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan dalam proses penerimaan kapal tersebut daripada pihak US Coast Guard.


"Tanpa sokongan padu Kerajaan, misi sebegini tidak akan menjadi kenyataan. Ini membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa mendukung pengukuhan keselamatan maritim Malaysia," katanya.


Untuk rekod, seramai empat kru APMM sudah berada di Baltimore sejak Mei lalu bagi menjalani latihan penyesuaian dan pemeriksaan teknikal ke atas kapal berkenaan sebagai persiapan awal sebelum pelayaran pulang.


Kapal EX-USCG Cutter Steadfast memiliki saiz 64.14 meter panjang dan 10 meter lebar serta mampu mencapai kelajuan hingga 18 knots.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page