46 kertas siasatan kes jenayah komersil melibatkan kerugian RM842,000 dibuka di Keningau
- nabalunews
- Jul 24, 2024
- 2 min read

23 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Polis Keningau membuka 46 kertas siasatan kes jenayah komersil dari bulan Januari sehingga Jun tahun ini yang melibatkan kerugian berjumlah RM842,397.36 dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Ketua Polis Daerah Keningau Superitendan Yampil Anak Garai berkata kes berkenaan melibatkan siasatan ke
atas 15 orang suspek.
Katanya kes jenayah komersial ini menunjukkan peningkatan berbanding 40 kes melibatkan kerugian RM 614,779.92 dengan 25 tangkapan dalam tempoh yang sama pada 2023.
Sehubungan itu katanya polis sentiasa mempergiatkan kempen kesedaran kepada masyarakat agar tidak terpedaya dengan tipu muslihat yang menjanjikan keuntungan lumayan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau di sini, hari ini.
Sementara itu katanya, sebanyak 3 kes pecah amanah direkodkan pada tahun 2024 melibatkan kerugian RM93,570 dengan satu tangkapan ke atas suspek berbanding 3 kes pada 2023 melibatkan kerugian RM142,324.14 dengan satu tangkapan.
Pada masa sama Yampil berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Keningau sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan hasrat pucuk pimpinan PDRM menjadikan jalan raya sebagai tempat yang selamat.
Namun demikian katanya, jumlah kemalangan yang dilaporkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 381 kes berbanding 371 kes tempoh yang sama tahun lepas, menyaksikan peningkatan 10 kes bersamaan 3 peratus.
"Kes kemalangan maut juga turut meningkat iaitu 13 kes pada tahun 2024 berbanding 11 kes pada 2023 yang menyaksikan peningkatan 2 kes bersamaan 15 peratus" katanya.
Beliau berkata, kebanyakan kes kemalangan dilaporkan berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri iaitu terbabas kerana memandu laju dan cuai ketika keluar masuk simpang atau bulatan.
Pada perhimpunan itu Yampil menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Penghargaan Ketua Polis Daerah kepada pegawai dan anggota daripada semua cawangan PDRM Keningau.
Commentaires