• nabalunews

47 KELUARGA NELAYAN DI PULAU TANJUNG ARU, PULAU BERHALA TERIMA SUMBANGAN BAKUL MAKANAN



12 Nov 2020


SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan bersama 13 pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan dan tenaga pengajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan telah menyumbangkan bakul makanan kepada 47 keluarga di Pulau Tanjung Aru dan Pulau Berhala dekat sini semalam.


Pengarah APMM Sandakan Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata APMM Sandakan prihatin dengan kesusahan masyarakat pulau itu, majoritinya adalah golongan nelayan tradisional pesisir pantai, terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan musim peralihan monsun.


"Sebagai persediaan peralihan monsun dan musim tengkujuh, pihak Zon Maritim Sandakan telah menyerahkan surat pematuhan keselamatan di laut kepada ketua kampung berkenaan," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Zainudin berkata beliau turut menyampaikan taklimat berkaitan keselamatan di laut yang disusuli acara penyerahan modul dan soalan latihan oleh PPD Sandakan kepada 13 pelajar dari Kampung Tanjung Aru serta sembilan pelajar dari Kampung Pulau Berhala yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini.


Sebanyak 22 bakul makanan itu adalah sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Sandakan manakala 25 lagi daripada warga kerja Zon Maritim Sandakan yang mengandungi antaranya beras, minyak masak dan gula.


Zainudin turut berpesan kepada penduduk pulau itu agar menyalurkan sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut dengan menghubungi talian 24 jam APMM iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504. - Bernama