5 maut tersepit dalam kenderaan
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

5 September 2025
TUARAN: Lima maut selepas tersepit di dalam kenderaan yang dilaporkan bertembung dengan sebuah lori treler dalam kejadian di Simpang Pusat Latihan Rela, Jalan Sulaman, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, kelima-lima mangsa yang maut dilaporkan penuntut di Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu.
Difahamkan, semua mangsa menaiki kereta jenis Toyota Wish dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan treler yang membawa muatan batu kerikil.

Akibat kejadian itu, semua mangsa yang menaiki Toyota Wish tersepit dan terpaksa dibantu dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas 'rescue tools'.
Semua mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20; dan seorang lagi lelaki dewasa yang belum dikenal pasti identitinya, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan semua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk tindakan lanjut.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Comments