5 Politeknik dan 11 Kolej Komuniti bersaing dalam pertandingan inovasi Festival Agromakanan dan Bioteknologi 2024
- nabalunews
- Aug 29, 2024
- 2 min read

29 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) 2024 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Sandakan Sabah (PSS) menyaksikan lima Politeknik dan 11 Kolej Komuniti bersaing dalam pertandingan inovasi di samping mempersembahkan hasil penyelidikan masing-masing di dalam bidang teknologi pertanian.
Dengan tema "Teknologi Pertanian Berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan", FAMB 2024 itu juga menjadi platform utama bagi para penyelidik, pelajar, agensi kerajaan serta pihak swasta untuk berkumpul dan berkongsi pengetahuan selain idea inovatif dalam bidang teknologi pertanian.
Peluang turut diberikan kepada semua pelajar dan tidak mengetepikan pelajar kategori khas iaitu pelajar masalah pembelajaran atau Learning Disability (LD) dalam FAMB edisi ke-10 itu yang diadakan 22 Ogos hingga hari ini (29 Ogos).
FAMB 2024 dirasmikan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal, hari ini di mana beliau juga menyampaikan Anugerah Inovasi Terbaik dan Khas kepada pemenang.
Majlis ini turut dihadiri Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Zamzam Mohd Walid dan Pengarah Politeknik Sandakan Sabah, Mohd Sani Said.
Ketika ditemui media, Yusof berkata, MOSTI juga sentiasa bersedia membantu mengembangkan inovasi pelajar pengajian tinggi untuk melahirkan ramai pakar dalam bidang tersebut dan menyumbang kepada dasar agro makanan negara.
Beliau berharap program berkenaan tidak terhenti setakat di sini sahaja sebaliknya inovasi itu dikembangkan sekaligus diperkenalkan di pasaran tempatan dan antarabangsa.
"Kita melihat festival seumpama ini mampu membawa sektor agromakanan ke tahap lebih tinggi dan sentiasa berdaya saing serta inovatif dalam menyumbang kepada komuniti dengan hasil penyelidikan dan inovasi yang hebat khususnya kepada sektor agromakanan," tambahnya.
Manakala impak daripada program ini bukan sahaja dirasai oleh pelajar dan peserta tetapi juga kepada komuniti dan pihak industri.
Pelbagai pihak juga dapat mengikuti dan mengetahui perkembangan terkini mengenai inovasi dan teknologi dalam bidang pertanian.
Sementara itu, dalam ucapan beliau, Dr. Zamzam berkata secara keseluruhannya, sejak dimulakan pada 2015, lebih 800 produk inovasi dipertandingkan di FAMB
dan lebih 300 kertas penyelidikan berjaya dihasilkan.
Bagi edisi ke-11 tahun hadapan, Politeknik Nilai di Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran FAMB.
Comments