- nabalunews
50 rumah terkesan oleh banjir kilat
14 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN : Lebih 50 buah rumah di Kampung Enam dan Kampung Loboh di sini, dinaiki air berikutan hujan lebat di daerah ituil pada petang Selasa yang menyebabkan banjir kilat.
Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jiton berkata beliau dimaklumkan oleh Ketua Kampung Enam, KK Jamil Salui bahawa rata-rata rumah yang terjejas banjir dinaiki air sedalam 0.61 meter (2 kaki).
Katanya, 15 buah rumah terjejas teruk akibat limpahan air Sungai Kawatuan.
Menurut Peter, hujan lebat sejak jam 6 petang itu menyebabkan limpahan sungai Kawatuan melanda ke hampir seluruh kawasan kampung kecuali kawasan di tanah tinggi.
Bagaimanapun katanya, air semakin surut selepas hujan reda pada jam 9.30 malam hari yang sama.
Selain Kampung Enam dan Kampung Loboh, beberapa buah kampung turut terkesan dengan banjir kilat itu menyebabkan jalan perhubungan tidak boleh dilalui pada awalnya.
Antaranya, Kampung Lima, Kampung Murni D, Kampung Indah dan Kampung Pamuntarian.
Namun pada pagi hari ini, semua jalan yang teribat boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan kecuali jalan Pamuntarian yang hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Peter yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memberitahu, pemantauan diteruskan di sungai-sungai terlibat dari masa ke semasa jika keadaan cuaca tidak menentu berterusan.
Sungai-sungai yang dikategorikan di paras bahaya adalah Sungai Nabawan, Sungai Panawan dan Sungai Kawatuan di Kampung Enam.
Comments