top of page

50 Syarikat PKS Terbaik Terima Anugerah Enterprise 50 2026

nabalunews
4 days ago
3 min read

17 Oktober 2026


KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbaik negara menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Enterprise 50 (E50) 2026 anjuran SME Corp. Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Majlis Makan Malam Anugerah E50 yang berlangsung pada 16 Oktober lalu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong.


Anugerah berprestij itu bertujuan mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan 50 PKS terunggul di Malaysia berdasarkan prestasi perniagaan, daya saing serta potensi pertumbuhan syarikat.


Sejak diperkenalkan pada 1997 dengan tema Meraikan Semangat Keusahawanan Malaysia, Anugerah E50 telah mengiktiraf seramai 843 penerima, dengan 67 daripadanya berjaya disenaraikan di pasaran modal.


Steven berkata, kerajaan terus memperkukuh ekosistem perniagaan negara menerusi pelbagai inisiatif termasuk menjadikan Anugerah E50 sebagai salah satu program di bawah inisiatif Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) yang diperkenalkan KUSKOP.


Beliau berkata, komitmen kerajaan terhadap pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut diterjemahkan menerusi Belanjawan 2027 dengan peningkatan peruntukan kepada RM57 bilion.


“Peningkatan peruntukan ini akan memperkukuh sokongan kepada PMKS melalui kemudahan pembiayaan, pengurangan kos operasi dan peluasan akses pasaran,” katanya.


Menurutnya, Belanjawan 2027 memberi penekanan khusus kepada pembangunan PMKS, sekali gus menjadikan tahun 2027 sebagai Tahun PMKS Malaysia.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur Program E50, Rizal Dato’ Nainy berkata, penganjuran tahun ini mencatat sejarah apabila menerima sebanyak 160 pencalonan, jumlah tertinggi sejak anugerah itu diperkenalkan.


“Sebanyak 160 pencalonan telah diterima pada tahun ini yang merupakan bilangan pencalonan tertinggi pernah diterima dalam sejarah Anugerah E50.


“Tahun ini juga menyaksikan barisan rakan strategik baharu yang menambah lagi prestij Anugerah E50,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Baker Tilly Malaysia selaku juruaudit anugerah, Berjaya Sompo Insurance Berhad sebagai penaja utama serta semua rakan strategik yang menjayakan program berkenaan.


Pada majlis itu, NIMS Adeliciousz Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah E50 2026, diikuti Syarikat Minyak Afiat Sdn. Bhd. di tempat kedua dan Skinlab Biochem Resources (M) Sdn. Bhd. di tempat ketiga.


Tujuh lagi syarikat yang melengkapkan senarai 10 terbaik ialah Accordia Global Sdn. Bhd., Fire Fighter Industry Sdn. Bhd., Ukiran Maksima Sdn. Bhd., Venus Biotech Sdn. Bhd., JL Food Industries Sdn. Bhd., Dodo Ventures Sdn. Bhd. dan SENZ Marketing (M) Sdn. Bhd.


Bagi kategori khas, Fire Fighter Industry Sdn. Bhd. menerima Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50, manakala Billion Prima Sdn. Bhd. meraih Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50 dan Duriane Professionals Sdn. Bhd. menerima Anugerah Amalan ESG Terbaik E50.


Selain pengiktirafan kepada syarikat cemerlang, Program E50 tahun ini turut memperkenalkan pembaharuan menerusi penganjuran Persidangan Eksport E50 pada 15 Oktober serta Sesi Padanan Perniagaan E50 dan PRESTIGE pada 16 Oktober.


Penganjuran program berkenaan bertujuan membuka lebih banyak peluang perniagaan, memperluas jaringan industri serta membantu PKS meningkatkan daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.


Untuk melayakkan diri menyertai Anugerah E50, syarikat perlu memenuhi definisi PMKS, memperoleh penarafan sekurang-kurangnya tiga bintang di bawah program Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE), tidak disenaraikan di Bursa Malaysia dan mempunyai penyata kewangan beraudit bagi tiga tahun terkini.


Anak syarikat juga tidak layak menyertai anugerah itu sekiranya syarikat induk mengambil bahagian.


Turut hadir Ketua Setiausaha KUSKOP, Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud; EXCO Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Dato’ Amizar Abu Adam yang mewakili Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi SME Corp. Malaysia, Dato’ Teng Chang Khim; Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Dr. Karomidin Gadoev dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Sompo Insurance, Soo Wai Har.

 
 
 

1 Comment


Alisa Carlos
Alisa Carlos
17 hours ago

It’s great to see small and medium-sized businesses getting recognition for their hard work and growth. Consistent effort and fresh ideas can make a real difference in any industry. I also enjoy creative costume styles, like an adult speed racer costume, which shows how unique designs can stand out.

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page