• Marryan Razan

528,234 pelajar sekolah rendah, menengah di Sabah kembali ke sekolah hari ini


Gambar Hiasan

22 Nov 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Sejumlah 528,234 murid sekolah rendah dan menengah di Sabah kembali ke sekolah hari ini (22 November) setelah beberapa bulan belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Dr. Mistrine Radin, berkata jumlah itu adalah keseluruhan murid sekolah rendah dan menengah bawah seliaan jabatan itu.


Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan murid sekolah, seramai 318,328 orang kategori sekolah rendah termasuk 27,924 murid prasekolah dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seramai 3,105 murid.


"Murid Tahun Satu yang kembali ke sekolah hari ini seramai 47,391 orang, Tahun Dua (48,227), Tahun Tiga (49,683), Tahun Empat (48,340), Tahun Lima (47,164) dan Tahun Enam (46,494),” katanya, di sini, hari ini.


Mistrine berkata, bagi kategori sekolah menengah pula, sejumlah 209,906 pelajar di Sabah memulakan persekolahan hari ini.


“Ini termasuk 3,415 murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Kolej Vokasional (4,647) dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah seramai 213 pelajar.


“Pelajar Tingkatan 1 seramai 40,951 murid, Tingkatan Dua (38,264), Tingkatan Tiga (37,204), Tingkatan Empat (35,107), Tingkatan Lima (34,033), Tingkatan Enam (Atas/Semester 3) seramai 7,333 orang dan Tingkatan 6(Bawah/Semester 3) seramai 8,739 orang,” katanya.


Mengenai jumlah murid institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Mistrine berkata seramai 10,938 orang kembali ke sekolah hari ini.


"Ia merangkumi Tadika, murid Program PPKI, sekolah rendah, menengah dan sekolah antarabangsa," katanya.