56,237 Slot Vaksinasi Influenza Warga Emas Tersedia - KKM
- nabalunews
- 8 hours ago
- 1 min read

21 Mei 2025
PUTRAJAYA: Sebanyak 56,237 slot temu janji vaksinasi masih tersedia di bawah Program Imunisasi Influenza Warga Emas di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) terpilih.
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 65.16 peratus warga emas dengan komorbid telah menerima suntikan influenza sejak pelaksanaan program bermula 18 Februari lalu.
Menurut KKM, perkhidmatan berkenaan disediakan di 649 Klinik Kesihatan (KK) terpilih di seluruh negara dan vaksin diberikan secara percuma serta merangkumi kos vaksin, peralatan dan khidmat kesihatan berkaitan.

“Orang ramai boleh mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan kerajaan sehingga akhir Ogos 2025. Warga emas yang layak disarankan agar segera membuat janji temu sebelum slot ditutup," menurut kenyataan itu.
Menurutnya, janji temu boleh dibuat melalui MySejahtera, manakala bagi warga emas yang tidak mempunyai akses kepada aplikasi tersebut, mereka boleh hadir terus ke KK terpilih untuk pendaftaran dan suntikan, tertakluk kepada slot tersedia.
Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan, melayari portal rasmi atau media sosial KKM, atau hadir sendiri ke KK untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Warga emas yang hadir bagi rawatan susulan penyakit kronik di KK turut digalakkan agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan maklumat dan bertanya berkenaan kelayakan menerima vaksin influenza secara percuma, sekiranya belum ditawarkan,”katanya.
KKM menyeru pesakit diabetes, penyakit jantung, penyakit pernafasan kronik atau tekanan darah tinggi mengambil peluang ini bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya menjelang musim jangkitan.
“Ia bagi memberikan perlindungan sewajarnya menjelang musim jangkitan. Langkah ini bertujuan mencegah komplikasi serius dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital akibat jangkitan influenza dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi,” katanya.
Comments