596 calon disahkan bertanding dalam PRU Sabah Ke-17
- nabalunews
- Nov 15
- 2 min read

15 November 2025
KOTA KINABALU: Seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah ke-17 selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi Sabtu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, semua calon akan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini.
Beliau berkata, calon Bebas paling ramai mengemukakan borang pencalonan dengan 74 orang, diikuti Parti Warisan Sabah (73 calon), Parti Impian Sabah (72 calon), Gabungan Rakyat Sanah (GRS) 55 calon, STAR Sabah (46 calon) dan Barisan Nasional (45 calon).
“Perikatan Nasional pula menghantar 42 calon, manakala Parti Kesejahteraan Demoktratik (KDM) serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) masing-masing menghantar 40 dan 25 calon, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 22 calon,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, calon melibatkan lelaki seramai 525 orang manakala wanita 71 orang.
Dari segi umur, katanya calon tertua berusia 86 tahun bertanding di DUN Bingkor mewakili Parti Kebangsaan Sabah (PKS), manakala calon termuda berusia 24 tahun turut mewakili PKS di DUN Silam.
Sementara itu, beliau berkata bagi pecahan penjuru, empat kerusi menyaksikan pertandingan 13 penjuru sementara satu kerusi melibatkan 14 penjuru dan dua kerusi membabitkan 12 penjuru.
“Sebanyak enam kerusi pula membabitkan saingan 11 penjuru, 10 penjuru di sembilan kerusi, sembilan penjuru (10), lapan penjuru (8), tujuh penjuru (10), enam penjuru (13), lima penjuru (8) dan empat penjuru (2),” katanya.
SPR menetapkan tempoh rasmi berkempen bermula sejurus pengisytiharan pertandingan dan akan berakhir pada 28 November 2025, jam 11.59 malam.
Ramlan berkata, sebanyak 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) telah ditubuhkan untuk memantau semua aktiviti calon bertanding bagi memastikan kempen berlangsung secara teratur.
Selain itu, katanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) juga telah membuka bilik gerakan aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa yang beroperasi 24 jam di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan Lahad Datu bermula 10 November sehingga 5 Disember ini.


















Comments