- Wartawan Nabalu News
64 KOMPAUN DIKELUARKAN DI SELURUH SABAH KERANA LANGGAR SOP COVID-19

12 Mac 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Polis mengeluarkan sebanyak 64 kompaun kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 58 orang dikenakan kompaun di Keningau kerana berada dalam premis yang beroperasi lebih masa, tanpa kebenaran dan tiada penjarakan fizikal.
"Masing-masing satu orang di Papar dan Kinarut atas kesalahan tidak memakai pelitup muka, lima orang dikenakan kompaun di Kudat kerana kesalahan rentas daerah tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Masidi berkata, dalam tempoh 24 jam, sejumlah 27 sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan di seluruh Sabah melibatkan pemeriksaan 9,673 buah kenderaan.
"Daripada jumlah tersebut, enam buah kenderaan diarah berpatah balik. Pada hari ini, PDRM melaksanakan 73 hebahan melalui kereta peronda dengan tiada tangkapan dibuat," katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan 84 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 34 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
Katanya, hasil pemeriksaan, sembilan tangkapan dibuat pada hari ini iaitu lapan tangkapan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah, manakala satu tangkapan lagi di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
"Rondaan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) dan Rondaan Pemantauan Pematuhan SOP Peringkat Komuniti oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah dilaksanakan di 466 lokasi melibatkan seramai 198 anggota APM," katanya.