64 PATI Ditahan Dalam Operasi JIM Di Tawau
- nabalunews
- 4 minutes ago
- 1 min read

10 Disember 2025
TAWAU: Cubaan pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di dalam siling gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas berjaya dikesan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Dalam operasi penguatkuasaan di sekitar daerah Tawau itu, seramai 64 PATI berjaya ditahan hasil daripada pemeriksaan terhadap 97 warga asing.
Dalam kenyataan media rasmi JIM Sabah, berkata operasi dilancarkan susulan aduan awam serta risikan hampir seminggu di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Katanya, operasi yang dijalankan berjaya memeriksa seramai 97 individu di beberapa kawasan tumpuan warga asing
“Hasil pemeriksaan, seramai 64 warga asing, masing-masing dari Filipina dan Indonesia ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” kata dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman sosial facebook.

Menurutnya, semua individu yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dan kini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sehubungan itu, JIM Sabah menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Selain itu katanya, orang ramai juga disarankan agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman kawasan setempat.














