657 Siri Tambahan Jualan Rahmah Diadakan Di Sabah Hingga Disember - Armizan
- nabalunews
- Sep 28, 2024
- 2 min read

28 September 2024
KUNAK: Berdasarkan sambutan hangat penduduk, sebanyak 657 lagi siri tambahan Program Jualan Rahmah (PJR) Madani akan dilaksanakan di Sabah pada Oktober hingga penghujung Disember ini.
Ia bersamaan tiga siri PJR setiap bulan, di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah, bermula bulan hadapan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata setakat Januari hingga semalam, sebanyak 747 siri PJR diadakan di Sabah.
“PJR dimulakan sejak tahun 2023 dan mendapat sambutan cukup hangat daripada masyarakat dan ini merupakan satu langkah intervensi kerajaan bagi menangani kos sara hidup, melalui PJR ini barangan ditawarkan diberi diskaun pada kadar 10 hingga 30 peratus, sekali gus ini banyak membantu masyarakat.
“Saya mengarahkan supaya tiga bulan terakhir bagi tahun 2024 ini digandakan, diperbanyak kekerapan penganjuran PJR Madani ini, kita memutuskan untuk Sabah ini, agar diadakan tiga siri PJR setiap bulan, di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi keseluruhan 657 siri tambahan PJR di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program sentuhan kasih bertemu masyarakat termasuk meninjau PJR yang diadakan di Dewan Arena Belia di sini, hari ini.
Armizan berharap menerusi pelaksanaan PJR di kawasan DUN itu, semua wakil rakyat dapat memberi kerjasama bagi mengenal pasti lokasi golongan sasar yang memerlukan bantuan dalam konteks pemberian subsidi barangan dijual pada harga diskaun.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN mengadakan siri libat urus bersama Kementerian Kewangan dan memohon peruntukan tambahan bagi Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober ini.
“Kita telah memohon salah satu komponen itu ialah peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan kepada KPDN bukan hanya untuk PJR, tetapi kita menyasarkan supaya dengan peruntukan bertambah, kekerapan PJR Madani ini akan dapat diperbanyak lagi di negara ini bukan setakat Sabah, jadi kita harap permohonan ini dipertimbangkan.
“Kita juga mohon peruntukan tambahan bagi Program Pengedaran Barangan Perlu di kawasan pedalaman, kita beri subsidi pada syarikat pengangkutan untuk membolehkan barangan daripada pusat titik sumber dihantar kepada titik jualan supaya rakyat di luar bandar turut menikmati harga yang dimanfaati masyarakat di bandar,” katanya.
Sementara itu, seorang suri rumah dari Kampung Getah Tengah Asni Arsyad, 47, berharap PJR dapat diteruskan pada masa hadapan kerana program itu cukup bermanfaat khususnya untuk golongan berpendapatan rendah.
Hari ini saya beli minyak 5 kilogram, biasa di pasar raya lebih RM30 tapi untuk hari ini RM20 sahaja, begitu juga kentang hari ini kita dapat RM1 untuk 1 kilogram berbanding RM3 pada hari biasa.
“Program ini wajar diteruskan bagi kami B40 ini, hidup keras, sangat berharap kerajaan meneruskan program ini di masa hadapan, banyak jimat kalau beli di PJR, macam kentang itu, bajet dapat dikurangkan,” katanya lagi.
Penduduk Kampung Dasar Lama Muhammad Rani Mohd Jahani, 37, juga berharap PJR dikerapkan selain diperbanyak kawasan penganjurannya.
“Kalau kita tengok minyak 5 kilogram itu kalau di PJR Madani dalam RM20 satu botol, telur tadi RM15 biasa harga RM20, bawang pun murah, saya selaku penduduk harap PJR ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan,” katanya.
Comments