• Wartawan Nabalu News

70 peserta sertai Ceramah Pencegahan Kebakaran, Kepentingan Alat Pemadam Api di Kg.Kiau


Latihan memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.

5 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 70 peserta menyertai Ceramah Pencegahan Kebakaran, Kepentingan Alat Pemadam Api dan Keselamatan Penggunaan Gas yang julung kalinya dianjurkan Pasukan Bomba Sukarela Kiau di Dewan SK Kiau 1, di sini, hari ini.


Program itu anjuran bersama Kelab ATV Kiau, Gompito dan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kota Belud.



Penutupan program itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Turut hadir Ketua Balai Bomba Kota Belud Mohammad Syazwan Latun, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Kiau Jeffrey Mudi, Yang Dipertua Gompito Justin Dalansu, Pengerusi Kelab ATV Kiau Zeno Philip dan Penyelaras Program Liam Sumbin.


Ketika berucap pada majlis ittu Mohammad Syazwan berkata, masyarakat kurang memahami kepentingan memiliki pemadam api di setiap rumah atau premis.


Sebahagian daripada peserta yang menyertai program itu.

“Setiap rumah seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal diambil jika berlaku kejadian kebakaran di rumah masing-masing.


“Tindakan awal itu penting bagi mengelak api daripada merebak. Kampung ini jauh dari Balai Bomba, dengan adanya Bomba Sukarela kampung akan dapat memberi bantuan awal sebelum bomba sampai jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.


Selain ceramah, pegawai JPBM turut menunjukkan cara memadam kebakaran menggunakan alat pemadam api.