Sabah perluaskan lagi kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 2 min read

14 Februari 2026
KOTA KINABALU: Sabah memperluaskan lagi Kawasan Perlindungan Sepenuhnya
(TPA) melalui pewartaan lebih kurang 216,000 hektar kawasan baharu melibatkan
kawasan hutan simpan komersial dan Tanah Kerajaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ini akan menjadikan TPA di Sabah meningkat kepada 2.227 juta hektar ataupun lebih kurang 30.06 peratus daripada keluasan tanah Sabah.
“Pencapaian ini bukan sahaja akan membolehkan sasaran 30 peratus kawasan TPA tercapai, ia juga akan menaikkan imej Sabah sebagai negeri yang mempunyai TPA
terbesar di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata kepentingan hutan sebagai pelindung biodiversiti, penstabil iklim dan sumber rezeki tidak dapat dinafikan.
Beliau turut memuji usaha berterusan Jabatan Perhutanan untuk mencapai sasaran mewartakan 30 peratus daripada kawasan negeri Sabah sebagai TPA.
Beliau menambah bahawa Jemaah Menteri telah pun bersetuju dengan cadangan Jabatan Perhutanan untuk mewartakan beberapa lagi kawasan perlindungan yang penting di bawah Seksyen 5A, Enakmen Hutan 1968, pada tahun lalu.
“Ini menjadi satu petunjuk bahawa strategi yang digariskan melalui Dasar Hutan Sabah 2018 berupaya memandu pencapaian Jabatan ke aras pencapaian terbaik usaha konservasi negeri.
“Perkara ini meletakkan Sabah di peta konservasi global, bukan sahaja dari aspek keluasan kawasan perlindungan, tetapi juga naratif usaha berterusan serta komitmen Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran polisi yang telah ditetapkan,” katanya.
Ketua Menteri turut menggesa semua warga Jabatan Perhutanan untuk terus
memastikan kutipan hasil melalui sektor perhutanan terus dilaksanakan secara telus
dan berkomitmen.
"Jabatan Perhutanan Sabah telah mengutip sebanyak RM161 juta dan daripada jumlah
tersebut, sebanyak RM92 juta ataupun 57 peratus adalah daripada royalti kayu balak.
"Pencapaian ini membuktikan sektor Perhutanan masih kekal relevan di Sabah,"
katanya.
Berhubung kutipan hasil, beliau berkata Jabatan Perhutanan Sabah telah mengutip
sebanyak RM161 juta pada tahun lalu dan daripada jumlah tersebut, RM92 juta atau 57
peratus adalah daripada royalti kayu balak.
“Pencapaian ini membuktikan sektor perhutanan masih kekal relevan di Sabah dan
sehubungan itu, saya mahu jabatan memastikan kutipan hasil melalui sektor perhutanan dilaksanakan dengan telus dan berkomitmen,”katanya.
Hajiji juga menggesa agar Jabatan Perhutanan terus melaksanakan pelbagai program dan aktiviti mengenai alam sekitar bagi meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan perlindungan kawasan hutan.
“Ini termasuklah menyebarkan maklumat kepada semua lapisan masyarakat untuk
membina komuniti yang mementingkan kelestarian hutan dan alam sekitar.
“Saya difahamkan bahawa pelbagai program jerayawara, seminar, ekspedisi saintifik
dan outreach selain persidangan antarabangsa seperti Heart of Borneo (HoB) telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji Jabatan Perhutanan atas kejayaan menerima
Anugerah Pengurusan Sumber Manusia terbaik tahun 2025, suatu pencapaian yang
patut dijadikan contoh positif kepada jabatan dan agensi lain.














