700 Kereta Terpakai Musnah Terbakar
- nabalunews
- 35 minutes ago
- 1 min read

15 Mac 2026
TUARAN: Sekurang-kurangnya 700 kereta terpakai dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kenderaan terpakai seluas hampir dua ekar.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.10 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai terus digerakkan ke lokasi kejadian dan berjaya tiba kira-kira lapan minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan stor penyimpanan kenderaan terpakai dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 700 kenderaan.
“Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan keseluruhan kekuatan seramai 23 anggota,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kurong berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran sebelum merebak ke kawasan yang menempatkan semua kenderaan berkenaan.
Katanya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 30 lagi kenderaan yang berada di lokasi sama.
“Operasi pemadaman berjaya mengawal api kebakaran pada jam 3.31 petang dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

“Tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan dan sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.











