724 projek sekolah daif siap, RM8.5 bilion dibelanjakan
20 November 2024
KUALA LUMPUR: Sebanyak 724 daripada 1,076 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif di seluruh negara telah berjaya disiapkan, dengan kos perbelanjaan berjumlah RM8.514 bilion.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, memaklumkan bahawa baki 180 projek kini dalam fasa pembinaan, manakala 172 lagi sedang melalui fasa prabina.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Bitara MADANI, diterajui Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).
"Antara tindakan lain untuk memperkasa dan memantapkan pelaksanaan projek daif seperti Transformasi Prosedur Pelaksanaan Projek. Sebagai contoh, penubuhan Jawatankuasa Pemandu dan Teknikal Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah bagi memantau pelaksanaan dan status projek.
"Selain itu, untuk memendekkan tempoh proses daripada 147 hari kepada 47 hari, penurunan kuasa NOC Agihan Siling tahunan kepada KSU, urusan tanah yang dipermudahkan dan juga penambahbaikan Urusan Rundingan 20A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172]. "
Menurut beliau, KPM juga telah mendapat kelulusan dan pengecualian khas daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi melaksanakan tawaran tender terbuka prakelayakan serta kerjasama daripada agensi pelaksana projek terbabit.
Kementerian Pendidikan turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja ubah suai naik taraf (USNT) bagi bangunan berskala enam untuk mengelakkan bangunan dirobohkan apabila dikategorikan sebagai bangunan daif skala 7.
"Pada masa sama, program penyenggaraan dan pembaikan sekolah akan diteruskan secara berkala dan berpanjangan, ini menunjukan pihak KPM sentiasa komited dalam menyediakan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang selamat dan kondusif," katanya dalam persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan ahli parlimen Jeli Zahari Kechik yang ingin tahu perancangan Kementerian untuk menangani isu sekolah daif dan pemantauan pelaksanaannya mengikut rancangan.
Comments