top of page
  • Wartawan Nabalu News

799,782 orang dengan peruntukan RM696.3 juta terima manfaat STR di Sabah


8 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, jumlah keseluruhan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sabah adalah seramai 799,782 orang melibatkan peruntukan sebanyak RM696.3 juta.


Beliau berkata, jumlah penerima STR tidak berdasarkan kategori mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).


“Kerajaan akan melaksanakan program penunaian STR di lapangan melibatkan daerah-daerah berkaitan di Sabah bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September 2023, bagi memastikan STR juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (Kapayan) pada persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.


Jannie bertanya berapakah jumlah penerima STR di Sabah setakat tahun 2023, khususnya di Kapayan dan apakah sebab-sebab bagi pemohon yang gagal mendapatkan bantuan ini.


Hajiji berkata, berdasarkan data penerima STR Kapayan yang diekstrak berdasarkan maklumat alamat dan poskod yang dikemukakan oleh pemohon, terdapat 1,345 penerima dengan peruntukan lebih kurang RM1 juta.


Katanya lagi, antara sebab-sebab permohonan tidak diluluskan adalah kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti yang berikut:


(i) Pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang;


(ii) Kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan/ perceraian; dan


(iii) Tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa.


Dari segi kaedah pembayaran, STR dikreditkan terus ke akaun bank penerima dan telah dilaksanakan mengikut fasa.


Hajiji berkata, pembayaran Fasa 3 adalah pada 26 Jun sehingga 5 Julai lalu dan penerima yang tiada akaun bank pula boleh membuat penunaian di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional yang berdekatan sehingga 31 Disember 2023.


STR merupakan ikhtiar untuk ‘Meminimum Beban Sara Hidup’ di bawah Tekad Ketiga yang menelusuri kerangka pembangunan Malaysia MADANI iaitu “Menegakkan Keadilan Sosial Untuk Merapatkan Kesenjangan” (ketidakseimbangan/ perbezaan).


Secara keseluruhannya, STR akan membantu meringankan beban sara hidup kepada lebih kurang 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 billion di seluruh negara.

Comentários


bottom of page