top of page

Ewon tinjau projek naik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas, kini 81.4 peratus siap

  • nabalunews
  • 2 minutes ago
  • 2 min read
Ewon mendengar taklimat ringkas daripada JKR
Ewon mendengar taklimat ringkas daripada JKR

26 Ogos 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick hari ini meninjau pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Siba-Lahanas Sokid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian yang kini mencapai kemajuan 81.4 peratus.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, projek menaik taraf jalan sepanjang 12.4 kilometer dengan peruntukan RM61 juta itu merupakan antara projek infrastruktur utama yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kesalinghubungan serta memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas.


“Projek ini kini mencapai prestasi pelaksanaan 81.4 peratus dan dijadualkan siap mengikut lanjutan masa kedua (EOT2) pada Julai 2027.


“Apabila siap sepenuhnya, projek menaik taraf jalan ini akan menjadi ‘game changer’ kepada ribuan penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas kerana ia akan memberikan akses jalan raya yang lebih baik dan seterusnya menyokong kegiatan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya selepas mengadakan tinjauan projek-projek berskala besar di kawasan Kadamaian.


Ewon berkata, projek berkenaan merupakan satu daripada lima projek utama berskala besar menaik taraf jalan raya dalam kawasan DUN Kadamaian yang kini sedang rancak dilaksanakan.

Katanya, pelaksanaan projek-projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk Kadamaian.


“Saya akan terus berkepimpinan untuk menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang menjadi panduan kepada usaha pembangunan kawasan ini, khususnya dalam membangunkan daya saing ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.


Dalam tinjauan itu, Ewon turut diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah Kota Belud.


Beliau turut meninjau pembinaan dewan terbuka Kampung Lahanas Siba yang melibatkan peruntukan RM50,000 yang disalurkannya tahun lalu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk dilaksanakan sendiri oleh badan berkenaan.


Menurutnya, penyediaan kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha melengkapkan keperluan masyarakat di peringkat kampung, selain pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar yang sedang berjalan di Kadamaian.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page