80 Pelajar Sertai Klinik Bola Sepak Sabah 2026 di Sandakan
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
6 April 2026
SANDAKAN: Seramai 80 pelajar 7 Tahun hingga 12 Tahun menyertai Program Jelajah Klinik Asas Bola Sepak Sabah 2026 yang berlangsung di Padang Sintetik Sandakan, sabtu lalu.
Program anjuran Kelab Ex-Sabah Footballer 90s Alumni dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Daerah Sandakan itu bertujuan memberi pendedahan awal kemahiran asas bola sepak serta membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk latihan teknik kawalan bola, hantaran, sepakan dan perlawanan persahabatan.

Pengarah Program, Rosli Amat @ Billy, berkata sambutan yang menggalakkan menunjukkan sokongan komuniti terhadap pembangunan bola sepak akar umbi di negeri ini.
Majlis dirasmikan oleh Sarno Haji Loso, dengan kehadiran ibu bapa yang memberikan sokongan padu sepanjang program berlangsung.
Presiden Kelab, Hashim Hamzah, memaklumkan program seumpama ini akan diteruskan ke daerah lain termasuk Tawau, Kunak, Lahad Datu, Ranau, Kota Kinabalu, Keningau dan Semporna bagi memperluas pembangunan bakat muda.
Turut hadir menyaksikan program ialah bekas pemain bola sepak terkenal seperti Nunsi Ghani, Azlan Ariffin, Henry Giau, Lamanja Latip serta beberapa Ahli Majlis Tertinggi Kelab Ex-Sabah Footballer 90s Alumni.











