80 rumah musnah terbakar
- nabalunews
- Mar 1, 2025
- 1 min read

1 Mac 2025
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 80 rumah penempatan setinggan di Kampung Cempaka Likas, di sini, musnah terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, kebakaran melibatkan seramai 669 mangsa daripada 139 keluarga itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.41 pagi.

Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai bersama jentera BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Kebakaran membabitkan rumah setinggan jenis tidak kekal yang dianggarkan sebanyak 80 rumah berdasarkan ketua kampung dan penduduk terlibat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba terus operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dari pam angkut iaitu sumber air terbuka dari sungai berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 7.32 pagi dan usaha memadamkan sisa api diteruskan.
Katanya, operasi turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Air Negeri Sabah.
“Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik pasukan bomba.
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.57 tengah hari,” katanya.















Comments