- nabalunews
9,529 peserta terima manfaat PROBEST sehingga Julai 2024
28 Julai 2024
KOTA KINABALU: Seramai 9,529 orang belia menerima manfaat melalui Program Agropreneur Muda (PROBEST) bernilai RM174.16 juta sehingga Julai ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, daripada jumlah itu seramai 745 belia Sabah turut menerima insentif berbentuk geran barangan berjumlah RM12.9 juta.
Menurutnya, PROBEST yang diperkenalkan sejak 2016 oleh KPKM itu merupakan kerjasama strategik Agrobank dengan beberapa universiti tempatan.
Ia bertujuan menggalakkan penyertaan golongan belia dalam bidang pertanian moden ke arah melahirkan golongan usahawan muda yang dapat memainkan peranan proaktif dalam menyumbang kepada sektor agromakanan negara.
Program ini juga bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan sektor agromakanan.
KPKM turut menyediakan bantuan lanjutan melalui Geran Padanan Change Upgrade Product (CUP).
Geran ini menawarkan padanan dengan kadar 70 peratus dibiayai oleh kerajaan manakala 30 peratus oleh usahawan dan juga Geran High Impact Product (HIP) yang menawarkan geran padanan 50 peratus dibiayai oleh kerajaan manakala selebihnya ditanggung oleh usahawan.
Arthur berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran PROBEST-Edisi Sabah di Pusat Inkubator, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Jumaat.
Beliau turut memuji komitmen yang diberikan oleh pihak Agrobank bagi memperkasakan komuniti belia terutama golongan B40 dan pelajar asnaf agar mampu untuk keluar dari kepompong
kemiskinan melalui program PROBEST edisi Sabah.
Arthur berkata sehingga Jun 2024, hasil kerjasama KPKM, Agrobank dengan UMS dalam ternakan benih ikan air tawar berjaya menjana pendapatan keseluruhan berjumlah RM7,484 kepada 15 orang siswazah.
"Manakala, melalui kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), projek ternakan rumpai laut di Kunak telah menjana pendapatan sebanyak RM25,855 kepada enam orang belia tempatan bagi dua musim dan kini projek itu telah memasuki musim ketiga.
"Tahniah kepada UMS dan UniKL dengan peruntukan dana yang diberikan untuk pembangunan infrastruktur projek, bimbingan teknikal daripada syarikat peneraju dan juga latihan keusahawanan melalui Agrobank keberhasilan program ini dapat dicapai dan seterusnya menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian," katanya
Harapan beliau agar usaha ini mampu mengubah persepsi dalam kalangan masyarakat muda mengenai sektor pertanian.
Sebaliknya golongan muda memandang sektor pertanian sebagai cabang pekerjaan yang mampu menjana pendapatan yang lumayan, di samping merancakkan lagi ekonomi negara melalui sumbangan sektor makanan.
Turut hadir di program ini Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr Kasim Mansor, Ketua Pegawai Risiko Agrobank Hussien Mullar, Timbalan Presiden UniKL Prof. Azmi Hassan, Ketua Agrobank Centre of Excellence Rusli Jusoh serta Timbalan Naib Canselor UMS Prof Dr Rosalam Sarbatly.
Comments