Seramai 90 pelajar IPTA/S kawasan Sandakan, Libaran terima bantuan awal pengajian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

90 pelajar IPTA/S kawasan Sandakan, Libaran terima bantuan awal pengajian


23 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan bantuan awal pengajian sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada 90 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) dari kawasan Sandakan dan Libaran, hari ini.


Beliau berkata, setiap pelajar menerima sumbangan RM500 seorang bagi membantu menampung sebahagian daripada perbelanjaan mereka di universiti atau kolej masing-masing.


“Lawatan kerja ini bukan hanya menyampaikan bantuan daripada agensi dan organisasi yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya tetapi juga untuk saya mendengar, berdialog dan meninjau permohonan (Tamu Desa) yang telah disampaikan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Usahawan MADANI dan Penyampaian Bantuan Awal Pengajian kepada pelajar IPTA/S, di sini, hari ini.


Pada majlis itu Ewon turut melancarkan Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan termasuk peruncitan, pemborongan, hartanah, restoran dan pelancongan.


Terdahulu itu, ketika berucap Ewon turut berkongsi komitmen Kerajaan dan inisiatif-insiatif yang dilaksanakan oleh kementeriannya untuk terus membantu rakyat melalui gerakan keusahawanan, gerakan koperasi dan gerakan pendidikan.


Agensi-agensi KUSKOP iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Bank Rakyat, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyampaikan taklimat berkenaan peranan dan program-program keusahawanan dan koperasi di agensi masing-masing.


“Penglibatan agensi-agensi kerajaan dalam program dan taklimat seumpama ini dapat membantu menghebahkan peranan dan perkhidmatan masing-masing kepada rakyat akar umbi,” katanya.


Selepas majlis, beliau meluangkan masa mengunjungi reruai agensi-agensi kerajaan yang membuat taklimat dan kaunter perkhidmatan serta reruai usahawan.


Seramai 20 usahawan yang menerima pembiayaan daripada Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan agensi-agensi Kerajaan lain menyertai pameran jualan sempena majlis itu.


Turut hadir Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang dan Pengerusi Koperasi Usahawan Libaran Sabah Berhad Dr. Peter Jr Naintin.

bottom of page