90 peratus guru sekolah di kem-kem ATM lengkap vaksin

15 Sept 2021
Oleh Ilona Andrew
KUALA LUMPUR: Seramai 1,990 atau 90 peratus orang para pendidik yang akan mengajar di sekolah kem-kem Angkatan Tentera Malaysuia (ATM) seluruh negara telah menerima vaksinasi lengkap.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ini merupakan perkembangan baik menjelang sesi pembukaan sekolah yang akan dilaksanakan di beberapa buah negeri bermula 3 Oktober.
Tambahnya, Kementerian Pertahanan bersedia membantu melancarkan pemberian vaksin kepada seramai 1,054 pelajar dan anak warga ATM yang berumur 16 dan 17 tahun.
Katanya pemberian itu akan dilaksanakan mulai hujung bulan ini.
"Kementerian Pertahanan juga bersedia membantu Kementerian Pendidikan dalam melancarkan sesi pembukaan sekolah di semua sekolah di kem ATM.
"Anggota akan digerakkan untuk membantu guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan membuat susun atur meja dalam bilik darjah dan guru mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam sidang media khas hari ini.
Turut hadir semasa sidang media itu adalah Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.
Menurut Hishammuddin, kementeriannya juga sedia membantu dari segi persediaan kit ujian COVID-19 agar pelajar di kem-kem ATM yang mengalami gejala boleh melakukan ujian kendiri.
Commentaires