900 Murid Terima Bantuan Beg Sekolah
- nabalunews
- Jan 30
- 2 min read

30 Januari 2026
KUNAK: Seramai 900 orang murid daripada 15 Sekolah Kebangsaan (SK) enerima bantuan beg sekolah menerusi satu program khusus yang bertujuan membantu golongan ibubapa dalam penyediaan keperluan persekolahan anak-anak.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Seri Anil Sandhu berkata, meskipun sesi awal persekolahan 2026 sudah bermula sejak hampir tiga minggu lalu, namun beliau sedar masih ada ibubapa yang memerlukan bantuan.
Katanya, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai anak ramai sama ada yang belajar di tadika, sekolah rendah ataupun sekolah menengah.

"Untuk peringkat pertama ini, saya menyumbangkan 900 beg sekolah dan bantuan serupa akan menyusul kemudian dalam masa terdekat.
“Ia bergantung kepada permintaan dan keperluan ibubapa khususnya mereka yang kurang berkemampuan", katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Program Agihan Beg Sekolah anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kunak dan Pejabat Perhubungan Adun yang diadakan di Dewan Ibnu Sina, SK Kunak 1, pada Khamis.
Turut sama dalam majlis itu, Pegawai Daerah Kunak, Majaran Osman, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Guru-guru besar dan Pengerusi PIBG sekolah-sekolah sekitar DUN Kunak serta ibubapa murid.
Anil berkata, bantuan persekolahan seperti itu sudah dijalankan sebelum ini dalam beberapa tahun lalu.
Katanya, beliau mengambil inisiatif untuk meneruskannya bagi memastikan tiada anak-anak yang tercicir daripada menerima kelengkapan asas untuk ke sekolah.
“Akhir tahun lepas juga, saya telah anjurkan program gunting rambut percuma terbuka kepada 100 kanak-kanak sekolah melibatkan kerjasama dua premis salon untuk menjalankan program tersebut.
"Komitmen untuk membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya dalam hal berkaitan keperluan semasa dan ini menjadi fokus kami di Pusat Khidmat Adun.
“Semoga sedikit sumbangan ini memberi semangat kepada anak-anak untuk belajar bersungguh-sungguh dan hadir ke sekolah dengan keyakinan dan motivasi yang tinggi untuk menimba ilmu bersama rakan-rakan yang lain", katanya.















Comments