95 Tong Gas LPG Seludup
- nabalunews
- Sep 13
- 1 min read

13 September 2025
TAWAU: Cubaan seorang tekong bot warga Indonesia menyeludup keluar tong gas petroleum cecair (LPG) balik ke negaranya gagal selepas berjaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.
Dalam operasi di kedudukan 1.1 batu nautika utara Tanjung Doris, di sini, jam 10.40 malam itu, sebanyak 95 tong gas LPG ditemui tanpa permit sah di atas bot kargo tanpa nombor pendaftaran.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Ariffin Ghazali berkata, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan bot terbabit ketika rondaan Ops Sejahtera, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kawasan sempadan perairan negara.

Katanya, sebaik ditahan, bot berkenaan dikendalikan seorang tekong warga Indonesia berusia 27 tahun bersama dua pembantu berusia 29 dan 25 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan turut membawa 18 tong gas berlabel Petronas, 77 tong gas berlabel MyGas serta 22 gelen kosong.
“Semua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri serta permit berkaitan barangan kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000 termasuk bot dan tong gas LPG.
“Ketiga-tiga suspek bersama bot dan muatan terus ditahan dan diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen JPDS,” katanya.

Ariffin berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengesan dalang sebenar sindiket serta terus memperketatkan kawalan di jeti-jeti haram dan rondaan pada waktu malam.
“Maritim Malaysia komited memastikan perairan Tawau bebas daripada aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang merugikan negara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah maritim boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.


















Comments