top of page

Abang Alami Masalah Mental Tembak Mati Adik Kandung

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

31 Mac 2026


TENOM: Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental menembak mati adik kandungnya menggunakan senjata buatan sendiri bakakuk dalam kejadian di Kampung Kangkawang, di sini, Ahad lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, lelaki berusia 57 tahun terbabit yang bertindak agresif terhadap polis turut meninggal dunia akibat ditembak pihak berkuasa.


Lelaki terbabit dikatakan cuba melepaskan tembakan terhadap anggota polis ketika cuba ditenangkan dan diarahkan untuk menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa maut adalah adik kandung suspek yang berusia 54 tahun.


Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa mempunyai lapan kesan kecederaan terkena peluru dibahagian belakang badan.


“Setibanya pasukan polis di lokasi kejadian, penduduk kampung memaklumkan suspek masih berada di dalam rumah bersama selaras senjata bakakuk.

“Penduduk kampung mendakwa terdengar suara suspek mengatakan akan menembak sesiapa sahaja yang datang berhampiran rumah berkenaan.


“Pasukan polis cuba menenangkan suspek dan mengarahkannya menyerah diri namun masih tidak diendahkan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, pasukan operasi terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi mendorong suspek keluar daripada rumah berkenaan.


Namun katanya, ekoran kejadian tembakan gas pemedih mata, suspek berlari ke arah dapur sambil mengacukan senjata api ke arah salah seorang pegawai polis yang berada di bahagian tingkap sisi rumah.


“Pegawai terbabit terpaksa mempertahankan diri dan melepaskan tiga das tembakan yang terkena pada lengan kanan dan badan suspek.


“Polis kemudiannya merampas selaras senjata api bakakuk dan lima butir peluru serta sebilah parang panjang untuk siasatan lanjut.


“Antara yang sudah dirakam percakapan termasuk isteri mangsa, anak suspek yang dipelihara oleh mangsa serta beberapa saksi dalam kalangan anggota polis,’ katanya.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page