Adakah hukuman sebat PATI terpakai untuk penguatkuasa licik? Teresa Kok
top of page
  • Farah Salim

Adakah hukuman sebat PATI terpakai untuk penguatkuasa licik? Teresa Kok


3 Februari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya mengadakan kursus latihan hak asasi manusia kepada para pegawai penguatkuasa di negara ini.


Beliau berkata, kursus latihan itu bagi mematuhi norma dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, semasa mereka menjalankan tugas dan mengelak hukuman kejam dan kuno kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).


“Saya membaca cadangan yang dikemukakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Hazani Ghazali.


“Saya tertanya-tanya sama ada cadangan hukuman sebat itu juga terpakai untuk ‘pegawai penguatkuasa licik’ yang gagal melaksanakan tugas mereka menghalang kemasukan pendatang tanpa izin dan juga penjawat awam yang membantu dan bersubahat dalam penyeludupan PATI,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Teresa berkata demikian bagi mengulas cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan hukuman sebat terhadap PATI yang melakukan kesalahan berulang dengan masuk ke negara ini secara haram.


Hazani dipetik sebagai berkata, pendekatan itu merupakan salah satu bentuk pengajaran kepada PATI supaya tidak lagi berbuat demikian pada masa akan datang.


Teresa berkata, hukuman sebat dilihat sebagai tindakan kejam yang boleh menjatuhkan maruah di peringkat antarabangsa.


“Ramai pendatang tanpa izin yang menyelinap masuk ke Malaysia adalah golongan miskin dari negara jiran yang mencari pekerjaan di sini. Cadangan yang tidak sensitif seperti itu hanya akan menjejaskan hubungan dengan negara jiran kita,” katanya.


Beliau turut mengingatkan Hazani bahawa terdapat segelintir rakyat Malaysia yang miskin mencari pekerjaan di luar negara dan tinggal melebihi tempoh. “Apa perasaannya jika hukuman sebat dikenakan terhadap rakyat Malaysia ini?” soalnya.


Sehubungan itu Teresa menggesa Suhakam supaya mengadakan kursus latihan berkonsepkan hak asasi manusia kepada pegawai agensi penguatkuasa, termasuk polis dan Imigresen untuk mematuhi piawaian hak asasi manusia antarabangsa semasa mereka menjalankan tugas.

bottom of page