ADUN Kadamaian Hulur Sumbangan untuk Program Pendidikan Khas SK Taginambur

19 Januari 2025
KOTA BELUD: Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian telah menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Taginambur Kota Belud bagi menyokong Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran yang dirancang oleh pihak sekolah.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh kakitangan Pejabat ADUN Kadamaian, Shainim Epin, yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, kepada wakil sekolah, Elia Jainis.
Menurut Elia, bantuan ini bertujuan membantu program lawatan pendidikan khas ke Walai Rabbit, Kota Marudu. Program tersebut dijangka melibatkan penyertaan 76 individu, termasuk murid, ibu bapa, penjaga, waris, guru-guru, dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM). Lawatan itu memerlukan penyewaan tiga buah bas bagi memastikan perjalanan berjalan lancar.
“Murid-murid yang terlibat dalam program ini merupakan murid berkeperluan khas seperti Autisme, Down Sindrom, Lewat Perkembangan, Kecacatan Akal, Cerebral Palsy, Lembam, masalah pertuturan (Speech Delay), dan Disleksia,” jelas Elia.
Beliau menambah, program ini bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran luar kelas yang berharga kepada murid-murid berkeperluan khas tersebut, selain melibatkan sokongan komuniti sekolah dalam meningkatkan kesedaran tentang pendidikan inklusif.
Elia turut merakamkan penghargaan kepada Ewon atas sumbangan yang diberikan. Menurutnya, sokongan ini amat penting untuk memastikan program tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Commentaires