top of page

ADUN Kadamaian, SKM dan KKIP salur bantuan CSR lebih RM80,000 di Kg Pompod, Kg Pangi dan Kg Tobur

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

19 April 2026


KOTA BELUD: Penduduk di Kampung Pompod, Kampung Pangi dan Kampung Tobur menerima manfaat bantuan berjumlah lebih RM80,000 melibatkan penyediaan sampan, bot serta pembinaan sebuah rumah baharu menerusi kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, bantuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu merangkumi tiga sampan yang disumbangkan oleh gerakan koperasi melalui kerjasama SKM, serta dua bot lengkap dengan enjin yang disumbangkan oleh Pejabat ADUN Kadamaian untuk kegunaan Kampung Pompod dan Kampung Pangi.


Katanya, kedua-dua kampung berkenaan merupakan kawasan yang sering dilanda banjir, justeru kemudahan itu amat penting bagi membantu komuniti setempat menjalankan operasi pemindahan penduduk serta penghantaran bantuan ketika situasi kecemasan.

“Dengan adanya sampan dan bot ini, penduduk dapat dibantu dengan lebih cepat terutama bagi urusan kecemasan dan penyaluran bantuan ketika banjir masih belum surut,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan CSR tersebut di Dewan Kampung Pangi, di sini, hari ini.


Selain bantuan logistik banjir, Ewon yang juga ADUN Kadamaian turut menyampaikan sumbangan CSR daripada KKIP bagi pembinaan sebuah rumah baharu untuk seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) yang tinggal bersendirian di Kampung Tobur.

Katanya, beliau sebelum ini telah melawat keadaan kediaman warga emas tersebut bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian dan mendapati rumah sedia ada berada dalam keadaan uzur.


“Susulan itu, saya meminta KKIP membantu melalui program CSR mereka. Saya berharap pembinaan yang dijangka bermula minggu hadapan dapat memberikan keselesaan kepada beliau untuk tinggal di rumah yang lebih selamat dan sempurna,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Pejabat Daerah Kota Belud, SKM, gerakan koperasi, KKIP, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan bantuan tersebut dapat disampaikan kepada penduduk.


Dalam pada itu, Ewon berharap semua kemudahan yang disalurkan dapat dijaga dengan baik agar dapat dimanfaatkan dalam jangka masa panjang, khususnya ketika musim banjir.


“Kita tidak menginginkan bencana banjir berlaku, namun apabila ia terjadi, inilah kemudahan yang sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan ini,” katanya.


Mengulas langkah jangka panjang, beliau berkata kerajaan negeri melalui Kabinet Sabah telah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merangka penyelesaian bagi menangani masalah banjir berulang di kawasan berkenaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page