top of page

ADUN Likas Persoal Kenyataan Mustapha Sakmud Berhubung Penangguhan Tuntutan 40 Peratus Hasil Sabah

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 1 min read

7 Mac 2026


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N19 Likas, Tham Yun Fook memandang serius kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud yang menyatakan beliau “terkejut” dengan tindakan Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.


Menurutnya, kenyataan itu menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat, khususnya mengenai tahap peranan selaku Menteri yang menjaga Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.


Katanya, sekiranya Mustapha mengetahui lebih awal mengenai tindakan kerajaan memohon penangguhan itu, maka kenyataan kononnya “terkejut” hanya akan dilihat sebagai satu bentuk lakonan politik.


“Namun, jika benar Mustapha tidak mengetahui perkara itu, keadaan itu lebih membimbangkan kerana ia memberi gambaran keputusan penting berhubung hak Sabah boleh dibuat tanpa pengetahuan menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.


“Keadaan ini seolah-olah menunjukkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak memandang serius kedudukan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak sehingga keputusan penting ini boleh dibuat tanpa pengetahuan menteri bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, Tham mendesak Ahli Parlimen Sepanggar itu agar segera tampil memberikan penjelasan berhubung perkara berkenaan.


Katanya, Mustapha juga perlu menyatakan secara terbuka pendiriannya dalam mempertahankan hak Sabah berhubung tindakan Kerajaan Persekutuan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri itu.


“Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan yang jujur dan telus mengenai perkara berkenaan.


“Isu tuntutan 40 peratus hasil bersih ini adalah hak perlembagaan negeri Sabah dan tidak boleh dipandang ringan atau dijadikan bahan permainan politik,” katanya.


Menurutnya, rakyat Sabah kini menunggu jawapan yang jelas, tindakan yang konkrit serta pendirian yang tegas daripada pihak berkaitan dalam mempertahankan hak negeri Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page