ADUN Nabawan sumbang RM10,000 untuk Tagal Komuniti Kg Sosogoh
13 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
NABAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin memberi sumbangan RM10,000 bagi membantu proses pembangunan Tagal Komuniti Kampung Sosogoh yang berkonsepkan pusat peranginan dan pelancongan di Pagalungan.
Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata Komuniti Tagal Kampung Sosogoh berpotensi besar untuk menarik kedatangan pengunjung kerana ia terletak di lokasi strategik di laluan antara daerah kecil Pagalungan ke daerah-daerah lain di Sabah.
"Tambahan lagi apabila laluan antara Daerah Kecil Pagalungan ke ibu kota Indonesia di Nusantara Kalimantan siap kelak sudah tentu ia menjadi tumpuan dan persinggahan" katanya.
Beliau berkata, selain menjadi tarikan pengunjung dari luar kerana keunikannya, tagal juga boleh menjana sumber pendapatan penduduk.
Ini kerana penduduk boleh menjalankan aktiviti perniagaan seperti memasarkan produk tempatan seperti kraftangan.
Tagal Komuniti Kampung Sosogoh akan dimajukan melalui Program Rintis Pintar Projek Tagal dibawah Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah, Jabatan Perikanan Malaysia dan Jabatan Perikanan Sabah.
Program rintis Projek Tagal Komuniti Kampung Sosogoh ini dijangka dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan pada 17 Ogos ini.
Commentaires