- Wartawan Nabalu News
ADUN PH Sabah guna kenaikan elaun biayai saman 40%, gesa reformasi DUN perkasakan peranan ADUN

20 Julai 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Harapan Sabah (PH) akan menggunakan kenaikan elaun mereka untuk membiayai kos perundangan saman 40 peratus yang telah difailkan di mahkamah.
Mereka menyatakan demikian dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
Adun yang terlibat ialah Datuk Christina Liew (Api Api), Phoong Jin Zhe (Luyang), Peto Galim (Inanam), Poon Ming Fung (Tanjung Papat), Jannie Lasimbang (Kepayan), Datuk Ewon Benedick (Kadamaian) dan Tan Lee Fatt (Likas).
Pada 3 Jun yang lepas, ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen PH Sabah telah memfailkan Saman Pemula (Originating Summon) di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi menuntut pelaksanaan pemungutan semula 40% hasil persekutuan di Sabah sepertimana termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Menurut kenyataan itu, PH Sabah juga sedang mempertimbangkan beberapa lagi tuntutan hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia untuk dibawa ke mahkamah.
“ADUN-ADUN PH Sabah akan menggunakan kenaikan elaun ini bagi membiayai kos perundangan saman 40% tersebut dan akan menggunakan sepenuhnya platform mahkamah sehingga ke Mahkamah Persekutuan bagi menuntut hak-hak Sabah ini,” katanya dalam kenyataan itu.
Kelmarin, kerajaan negeri membentangkan pindaan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) 1981 bagi menaikkan kadar gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, Menteri, Speaker, Pembantu Menteri, Timbalan Speaker, ADUN dan Setiausaha Politik. Pindaan ini telah diluluskan melalui undian suara.
Pada masa yang sama, ADUN-ADUN PH Sabah juga menggesa Kerajaan Sabah melaksanakan reformasi-reformasi di peringkat Dewan Undangan bagi memperkasakan peranan ADUN agar justifikasi kenaikan elaun ini dapat dirasai oleh rakyat.
“Reformasi- reformasi tersebut adalah menubuhkan Jawatankuasa Antara Parti untuk menuntut hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan secara lebih bersepadu.
“Menggandakan jumlah hari persidangan DUN dalam setahun supaya masalah-masalah rakyat dapat ditangani dengan lebih baik dan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas mengikut isu dan portfolio setiap Kementerian bagi memperkasakan peranan semak dan imbang.
“Melibatkan ADUN-ADUN bukan kerajaan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah, Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan memperkenalkan Enakmen baharu peruntukan pembangunan sama rata kepada semua ADUN yang dipilih supaya bantuan-bantuan kepada rakyat dapat disalurkan,” katanya.
Selain menggunakannya untuk membiayai kos saman 40 peratus, Adun-Adun PH itu juga akan menggunakannya untuk membiayai program bantuan kebajikan di kawasan masing-masing kerana Adun pembangkang tiada peruntukan seperti Adun kerajaan.
“ADUN-ADUN PH Sabah akan menggunakan kenaikan elaun tersebut untuk program-program bantuan kebajikan di kawasan masing-masing memandangkan kami tidak menerima peruntukan khas ADUN seperti yang diterima oleh ADUN-ADUN kerajaan,” kata kenyataan itu.