• Wartawan Nabalu News

ADUN PITAS HARAP TEMPIAS PEMBANGUNAN BEKALAN AIR RM632 JUTA UNTUK LUAR BANDAR



7 Nov 2020

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Seri Ruddy Awah berharap daerah Pitas mendapat tempias daripada cadangan pembangunan bekalan air berjumlah RM632 juta.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap agar Belanjawan Nasional yang membawa banyak berita baik untuk Sabah mendapat sokongan penuh dari Ahli Dewan.

“Saya berharap, usaha kerajaan meneruskan inisiatif mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar bernilai RM2.7 billion yang dibentangkan akan memberikan manfaat kepada negeri Sabah yang ketinggalan dari segi prasarana.

“Sebagai Adun di pedalaman Sabah, saya berharap agar cadangan melaksanakan projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa bernilai RM1.3 billion tersebut akan sampai ke Pitas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat.

Ruddy berkata, jika belanjawan itu dilaksanakan, Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 akan diberikan kepada peniaga dan penjaja Sabah.

“Geran khas ini juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong yang terjejas teruk ekoran kekurangan kehadiran pelancong.

“Program RM41 juta untuk Program Hak Adat Anak Negeri juga akan memperkasa hak anak negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion yang terbesar dalam sejarah, Ruddy berharap agar tidak berlaku ketirisan dalam pelaksanaan di peringkat bawahan agar rakyat dapat menikmati segala pembangunan yang dinanti-nantikan rakyat.

Usul meningkatkan Bantuan Sara Hidup (BSH), yang diubah namanya sebagai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), juga salah satu inisiatif kerajaan yang pastinya akan mengurangi beban rakyat.

“Bantuan kewangan yang akan disalurkan terus kepada rakyat menunjukkan kerajaan prihatin kepada kesusahan mereka yang memerlukan.

“Saya mengalu-alukan Belanjawan ini, dan akan berusaha sebaik mungkin membantu di peringkat akar umbi untuk menjadi pemudahcara dari segi pelaksanaan,” katanya.