Agama Bukan Bahan Jenaka – PUDS

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA KINABALU, 18 Sept – Pertubuhan Usahawan Dusun Sabah (PUDS) memandang serius polemik berikutan kenyataan yang menyentuh paderi, biarawati dan rujukan kepada Kitab Suci dalam sebuah perhimpunan politik baru-baru ini, sambil menegaskan setiap agama dan kepercayaan mesti dihormati tanpa pengecualian.
Presiden PUDS, Saikam Salinggou, berkata institusi agama, pemimpin agama serta simbol-simbol suci tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka, sindiran atau analogi yang boleh mengundang salah faham dan menyinggung perasaan penganut mana-mana agama.
“Sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili masyarakat usahawan dan komuniti pelbagai latar belakang di Sabah, PUDS berpendirian bahawa setiap agama dan kepercayaan mesti dihormati tanpa pengecualian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Sabah terkenal sebagai negeri yang dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kehidupan harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama, nilai yang diwarisi turun-temurun dan menjadi kekuatan utama rakyat Sabah.
Mengulas mengenai permohonan maaf yang telah dibuat, PUDS mengambil maklum, namun menegaskan dalam isu melibatkan sensitiviti agama, permohonan maaf yang jelas, terbuka dan mengambil tanggungjawab secara langsung adalah penting bagi memulihkan keyakinan masyarakat serta meredakan keresahan yang timbul.
“PUDS berpandangan bahawa niat dan kesan adalah dua perkara yang berbeza. Seseorang mungkin tidak berniat untuk menghina, tetapi sekiranya penyampaian tersebut telah menyentuh sensitiviti penganut agama tertentu, maka pengakuan terhadap kesan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab moral dan sosial dalam sebuah negara majmuk,” katanya.
PUDS juga mengingatkan semua pemimpin, penceramah dan tokoh masyarakat agar lebih berhati-hati dalam memilih contoh, analogi atau jenaka, terutama apabila melibatkan agama dan kepercayaan. Kebebasan bersuara hendaklah sentiasa disertai dengan rasa hormat, kebijaksanaan dan tanggungjawab.
Menurutnya, keharmonian antara agama bukan sekadar slogan, tetapi asas penting kepada kestabilan sosial, pembangunan ekonomi dan masa depan Sabah. Masyarakat usahawan memerlukan sebuah persekitaran yang aman, saling mempercayai dan bebas daripada isu-isu yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat.
“Prinsip yang harus dipegang oleh semua pihak adalah mudah, hormatilah agama orang lain sebagaimana kita mahu agama dan kepercayaan kita sendiri dihormati,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak bersama-sama memelihara semangat perpaduan, toleransi dan persefahaman yang telah sekian lama menjadi identiti Sabah dan Malaysia.















Comments