Hari Malaysia 2026 di Tambulion Ulu semarak perpaduan, kebersamaan komuniti

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 18 Sept — Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud berlangsung meriah pada 16 September lalu di Dewan Tamu Desa Kampung Tambulion Ulu dengan penyertaan penduduk serta pelbagai organisasi komuniti setempat.
Majlis yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat GIATMARA Kota Belud, Azuwan Marjan @ Norjan.

Sambutan tersebut dianjurkan secara bersama oleh Koperasi Komuniti Tambulion Ulu Kota Belud Berhad, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tambulion Ulu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tambulion Ulu, Skim Rondaan Sukarela (SRS) Tambulion Ulu serta Taman Tani Kampung Tambulion Ulu.
Azuwan berkata sambutan Hari Malaysia di peringkat kampung mempunyai nilai besar kerana ia menjadi ruang untuk masyarakat menghayati semangat perpaduan dan kebersamaan.

“Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa kekuatan negara bermula daripada perpaduan rakyat. Semangat bekerjasama dan saling menghormati perlu terus dipupuk, khususnya dalam kalangan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha komuniti Tambulion Ulu yang berganding bahu menjayakan program tersebut dengan melibatkan pelbagai badan dan lapisan masyarakat.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Tambulion Ulu, Boniface @ Doni Jiran, berkata penganjuran sambutan itu menunjukkan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan komuniti setempat.
“Kita mahu semangat Hari Malaysia diterjemahkan melalui tindakan. Apabila JKKK, KRT, SRS, koperasi, Taman Tani dan masyarakat dapat bergerak bersama, kita bukan sahaja dapat menjayakan sesuatu program, tetapi turut membina hubungan yang lebih kukuh dalam komuniti,” katanya.
Menurut beliau, semangat kerjasama berkenaan penting dalam usaha membangunkan Kampung Tambulion Ulu secara berterusan.
“Bersama kita membangunkan Kampung Tambulion Ulu yang lebih maju, harmoni dan sejahtera. Semangat seperti inilah yang kita mahu teruskan bukan sahaja pada Hari Malaysia, tetapi dalam setiap usaha pembangunan kampung,” katanya.
Turut hadir dalam sambutan tersebut ialah Ketua Kampung Tambulion Ulu, Daiman Basinau, Ketua Kampung Tambulion Laut, Robertson Jiran, serta Pengerusi JKKK Kampung Tambulion Sorob, Debra Sodomon.
Sambutan Hari Malaysia 2026 di Tambulion Ulu diharapkan terus menjadi pencetus kepada lebih banyak aktiviti yang mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam membangunkan komuniti.















Comments