top of page

Ewon harap KUSKOP teruskan inisiatif Tamu Desa dalam Belanjawan 2027

nabalunews
16 hours ago
2 min read

18 September 2026


SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berharap Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (KUSKOP) meneruskan inisiatif Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2027.


Beliau berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, timbalan menteri serta ketua setiausaha kementerian berkenaan dalam pertemuan sebelum ini.



Ewon berkata, beliau mula memperkenalkan inisiatif itu pada 2024 dan kini ia memberi manfaat kepada ribuan peniaga kecil di tamu-tamu seluruh Sabah dan Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.


“Hari ini, mewakili rakyat dan kerajaan negeri Sabah, saya berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi khususnya, serta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan amnya, dapat meneruskan inisiatif premis Tamu Desa ini dalam Belanjawan 2027,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kemudahan premis Tamu Desa di Kampung Kitagas, Ulu Dusun, Libaran, yang dibina dengan peruntukan RM200,000 di bawah KUSKOP.


Ewon berkata, aktiviti ekonomi desa melalui tamu sangat sinonim dengan masyarakat Sabah, terutama di kampung-kampung luar bandar.


“Sabah mempunyai sekitar 3,000 buah kampung yang mempunyai pentadbiran JKKK, dan saya percaya sebahagian besar daripada kampung-kampung ini mempunyai tamu mingguan, sekali seminggu,” katanya.


Beliau berkata, kemudahan Tamu Desa bukan sahaja digunakan untuk aktiviti jual beli, malah boleh dimanfaatkan bagi pelbagai kegiatan masyarakat dan agensi kerajaan.


“Melalui kemudahan seperti ini, ia bukan hanya digunakan untuk premis ataupun aktiviti Tamu Desa, tetapi boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti lain seperti mesyuarat mingguan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEMAN TEKUN Nasional dan Yayasan Usaha Maju, selain acara rakyat seperti sambutan perayaan, majlis perkahwinan dan ceramah daripada jabatan serta agensi kerajaan,” katanya.


Mengulas perkembangan positif selepas lebih 100 Tamu Desa dibina dan dinaik taraf di Sabah, Ewon berkata, kemudahan itu memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.


“Saya bercakap melalui pengalaman mengunjungi tamu-tamu sebelum dan selepas premis ini disediakan. Pertama, dari segi keselesaan usahawan tamu dan juga para pengunjung. Walaupun mungkin masih perlu ditambah baik, sekurang-kurangnya apabila hujan mereka tidak basah dan apabila panas terik mereka tidak merasa bahangnya berbanding sebelum itu,” katanya.


Dalam pada itu, Ewon bersetuju menyalurkan RM200,000 lagi pada tahun depan menerusi peruntukan khas menterinya untuk menambah baik kemudahan Tamu Desa di Kampung Kitagas, Ulu Dusun.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page