AGC: Proses pelantikan hakim tertakluk tatacara perlembagaan persekutuan
- nabalunews
- 6 hours ago
- 3 min read

8 Julai 2025
PUTRAJAYA: Tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan tertakluk kepada tatacara ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, proses berkenaan hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.
Menurutnya, dakwaan terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
"Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar 'konduit' yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman," katanya.
Jabatan itu berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lepas dan pelantikan itu masih perlu melalui beberapa formaliti.
"Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur," katanya.
Kenyataan AGC merujuk kepada gesaan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli dan beberapa Ahli Parlimen yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi itu.
Menurut jabatan itu, pelantikan hakim mahkamah atasan telah diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pelantikan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong adalah terletak secara eksklusif kepada Perdana Menteri,” katanya.
Berhubung dengan kenyataan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut Seksyen 13(2) Akta 695, AGC menjelaskan bahawa JAC boleh mengawal selia prosedurnya sendiri.
“Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, AGC menegaskan tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim ialah dakwaan yang serius.
“Bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang, justeru tuduhan itu tidak boleh disamakan dengan kesalahan yang telah dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan spekulatif semata-mata,” katanya.
AGC turut menyatakan perbandingan dengan kes VK Lingam pada 2007 adalah suatu perkara yang tidak wajar, kerana kes terbabit melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.
“Keadaan itu berbeza dengan senario semasa yang tuduhan atau dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan daripada aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti kukuh,” katanya.
Tambahnya, meskipun Parlimen mempunyai kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa bagi meneliti isu tatakelola institusi, urusan pelantikan kehakiman perlu ditangani secara cermat bagi memastikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik.
“Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Jabatan ini akan sentiasa menasihati kerajaan dalam urusan pentadbiran keadilan, sekiranya terdapat keterangan yang berasas,” katanya.
AGC berkata, situasi pada masa ini perlu diawasi dan menegaskan percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan.
"Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Sehubungan itu, AGC berharap semua pihak sentiasa bertanggungjawab untuk menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa dengan memperkukuhkan kematangan institusi dan bukan dengan hanya membuat spekulasi yang tidak berasas.
ความคิดเห็น