AGC teliti kenyataan Shafie Apdal berhubung kes Zara Qairina
- nabalunews
- 3 days ago
- 1 min read

22 September 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang meneliti dengan terperinci setiap kandungan kenyataan yang dibuat Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini menegaskan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah selepas penelitian itu selesai.
“Jabatan ini memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berhubung kes Zara Qairina semasa berucap di majlis “Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan” pada 20 September 2025.
“Kenyataan sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi yang tidak tepat dalam kalangan masyarakat serta menjejaskan kelancaran prosiding mahkamah yang sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, AGC mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan kekeliruan atau mengganggu kelancaran prosiding mahkamah yang masih berlangsung.
Sebelum ini, sebuah rakaman video satu majlis makan malam yang tular memaparkan Shafie mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar itu.
Semalam, media melaporkan barisan peguam mewakili empat pelajar dalam inkues kematian Zara mengecam Presiden Warisan yang didakwa cuba mengekspoiltasi kes itu demi kepentingan politik.
Mereka berkata, tindakan Shafie melabelkan kes itu sebagai 'pembunuhan' serta mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik adalah tuduhan melulu, berbahaya, menjijikkan dan penghinaan terhadap pentadbiran keadilan.
Comments