top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agensi Kuskop salur lebih RM38.7 juta pembiayaan kepada usahawan Negeri Sembilan

Aminuddin dan Ewon menyampaikan pembiayaan kepada usahawan.

22 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensi-agensinya menyalurkan geran pembiayaan dan bantuan perniagaan sejumlah RM38,779,995.00 kepada usahawan dan koperasi berdaya maju dari Negeri Sebilan.


Pembiayaan daripada agensi SME Bank, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Rakyat itu disampaikan pada Majlis Pelancaran Program Jelajah Usahawan dan Koperasi MADANI (PJUKM) Negeri Sembilan bersempena Karnival Negeri Sembilan (NS Fest 2023), di Dataran Nilai, hari ini.


Penyampaian replika cek itu disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Seri Haji Aminuddin Harun bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Ewon ketika ditemui pemberita pada majlis itu.

Ketika ditemui pemberita Ewon berkata, kejayaan menganjurkan program itu menunjukkan kerjasama dan hubungan erat diantara kerajaan perpaduan dengan kerajaan Negeri Sembilan.


“Hubungan erat ini penting bagi memastikan ramai usahawan di negeri ini mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi di bawah kementerian.


“Saya juga berharap pembiayaan ini dapat membantu usahawan meningkatkan lagi perusahaan mereka seterusnya menjadi inspirasi kepada usahawan lain untuk terus berjaya,” katanya.


Ewon berkata, PJUKM merupakan inisiatif kementerian bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan inklusif yang memberikan pendedahan serta maklumat berkenaan program dan inisiatif agensi-agensi di bawah kementerian itu.


Beliau berkata, program ini secara tidak langsung dapat memperkasakan agenda keusahawanan dalam kalangan usahawan di peringkat negeri.


“Antara pengisian utama program ialah Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang menawarkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan produk-produk koperasi pada kadar 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.


“Ini selaras dengan usaha kerajaan membantu rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Selain itu, turut diadakan sesi perkongsian maklumat kepada usahawan dan komuniti setempat mengenai inisiatif-inisiatif keusahawanan seperti Program Bantuan Pematuhan Siji Halal daripada CEDAR, Taklimat Pembiayaan Perniagaan SME Bank, INSKEN BizClinic serta pameran KUSKOP dan agensi di bawahnya,” katanya.

Ewon berharap, pelaksanaan PJUKM ini dapat merancakkan semula aktiviti keusahawanan dan koperasi di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan selari dengan nilai Ihsan dan Kesejahteraan Malaysia MADANI yang diterjemahkan dengan jelas iaitu memberi keuntungan dan manfaat kepada rakyat.

Negeri Sembilan adalah lokasi ketiga PJUKM, sebelum ini ia diadakan di Sabah, kemudiannya di Selangor.


“Kita adakan PJUKM di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat manfaat perniagaan di bawah program ini,” katanya.

Ewon melawat pameran jualan usahawan-usahawan pada majlis itu.

Comments


bottom of page