- Wartawan Nabalu News
Agong dukung usaha laksana MA63, mahu telusuri Pan Borneo apabila siap

13 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendukung usaha pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mahu memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo apabila siap kelak.
Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Pemindahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Kerajaan Sabah, mengiktiraf Jabatan Kerja Raya Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, menambah baik tahap pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak, adalah antara yang telah diputus dan dipersetujui oleh Kerajaan Beta.
“Pada masa yang sama, usaha untuk membangun dan memperkasa ekonomi di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan terus digiatkan,” titah baginda semasa menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah berkata, bagi memperkasa pentadbiran undang-undang, pembangunan Kompleks Mahkamah di Sabah dan Sarawak juga wajar diberikan perhatian.
“Infrastruktur berkualiti dan perhubungan akses luar bandar akan ditingkatkan menerusi pembinaan jalan luar bandar, jambatan, utiliti bekalan air bersih, bekalan elektrik dan kediaman yang lebih baik.
“Jurang pembangunan ekonomi semua kaum dan etnik termasuk Orang Asli akan terus ditangani bagi melahirkan masyarakat desa yang berdaya tahan dan berdaya saing.
“Tidak ketinggalan juga, dasar perlindungan sosial akan disusun semula bagi memastikan jaminan keselamatan dan perlindungan sosial yang lebih komprehensif dan bersepadu kepada rakyat Beta. Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) akan dimantapkan peranannya bagi memberi dimensi baharu kepada lanskap perlindungan sosial di Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa,” katanya.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah berkata, tumpuan terhadap penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam melalui kemampanan sektor pembinaan juga hendaklah terus diberi perhatian.
“Dasar Pembinaan Negara (NCP 2030) akan memberi fokus kepada pendigitalan serta kemampanan sektor pembinaan dan mengangkat penyenggaraan infrastruktur sebagai salah satu segmen industri pembinaan yang akan dibangunkan bagi memastikan pengurusan aset dan kemudahan yang lebih berkesan.
“Beta merasa amat sukacita dengan prestasi pelaksanaan Projek Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak yang telah dimulakan pada tahun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024.
“Adalah menjadi impian Beta untuk memandu menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo ini khusus untuk Beta mengenali dengan lebih rapat lagi rakyat Beta di pedalaman Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu.
“Program kembara ini sedang dirangka oleh Istana Negara dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.
Titah baginda: “Kerajaan Beta juga hendaklah meneruskan projek-projek infrastruktur pengangkutan awam berimpak tinggi bagi meningkatkan ketersambungan dan kemudahsampaian di samping menjana kesan pengganda yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi”.
Al-Sultan Abdullah berkata, penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam bertaraf dunia dan lestari terhadap alam sekitar akan terus diberikan fokus.
“Usaha tersebut dapat direalisasikan melalui pengangkutan yang optimum serta meningkatkan kesedaran rakyat untuk beralih kepada penggunaan pengangkutan yang bercirikan cekap tenaga dan rendah karbon,” katanya.