Agong mahu pembangunan infrastruktur di Sabah, Sarawak dipercepatkan
top of page
  • Farah Salim

Agong mahu pembangunan infrastruktur di Sabah, Sarawak dipercepatkan



28 Feb 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak dipercepatkan.


Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 di sini, pada Isnin.


Titah Seri Paduka Baginda, pembangunan itu harus disegerakan bagi menjadikan dua negeri tersebut sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke wilayah Kalimantan.


“Projek pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road (CSR), West Coast Expressway (WCE), Sarawak-Sabah Link Road dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak bakal memacu pembangunan wilayah serta pertumbuhan ekonomi setempat.


“Pada masa yang sama pembangunan di Sabah dan Sarawak hendaklah dipercepatkan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu berikutan perpindahan ibu kota negara Indonesia ke Wilayah Kalimantan,” titah baginda.


Baginda juga menekankan kepentingan pembangunan rangkaian keterhubungan dan kebolehcapaian jaringan jalan raya sedia ada.


"Beta mengalu-alukan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 yang dirangka untuk mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan raya bagi melengkapkan sistem jaringan perhubungan yang lebih baik.


"Beta menyokong usaha kerajaan membangunkan projek infrastruktur rel mega seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru - Singapura dan Transit Aliran Massa Laluan 3 (MRT3).


"Pelaksanaan projek strategik ini bakal memberi keselesaan, ketersambungan ke pelbagai lokasi dan bakal menghasilkan limpahan pembangunan ke semua wilayah, seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat," titah Baginda.


Al-Sultan Abdullah bertitah agar kerajaan menumpukan usaha dalam membasmi miskin tegar menjelang tahun 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.


“Semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan,” titah Baginda.


Seri Paduka Baginda juga mahu penguatkuasaan berterusan berkaitan kos sara hidup perlu dilaksanakan sebaik-baiknya.


“Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.


“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat Beta untuk mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang berpatutan,” titah Baginda.


Baginda berkata, kerajaan juga perlu terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.


"Usaha ini juga selaras aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat," titah baginda.




photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page