Agong pesan “jaga Sabah”, kata Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agong pesan “jaga Sabah”, kata Ewon

(Gambar fail) Ewon bersama Agong semasa lawatan di KDCA Penampang sempena Kembara Borneo pada tahun lepas.

30 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpesan titah kepada beliau supaya menjaga Sabah.


Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadmaaian itu berkata, titah itu dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah pada Majlis Keberangkatan Balik Tuanku dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Parlimen, hari ini.


“Semasa majlis kebarangkatan balik Tuanku dan Raja Permaisuri di Dataran Parlimen, hari ini, Tuanku berpesan titah kepada saya, “jaga Sabah”.


“Legasi Tuanku dan pesan titah ini akan terus saya junjung untuk berinisiatif yang terbaik buat negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, institusi Diraja mempunyai peranan besar dalam sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan.


Katanya, rakyat menjunjung institusi ini dan akan terus memberi taat setia kepada Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.


“Menjunjung kasih Yang Di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Agong, saya menzahirkan ucapan penghargaan di atas sumbangan kepimpinan sepanjang menjadi Ketua Negara Malaysia dalam tempoh lima tahun ini.


“Memperkasakan nasionalisme rakyat Malaysia berasaskan perpaduan kaum merupakan legasi terbaik Tuanku yang akan menjadi ingatan seluruh rakyat Malaysia.


“Pertamanya, Tuanku telah menzahirkan titah agar perpaduan harus menjadi teras kepada penubuhan Kerajaan Persekutuan yang telah dijunjung dan dilaksanakan oleh pimpinan Kerajaan hari ini di bawah teraju Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri,” katanya.


Katanya lagi, pergolakan politik dan kekerapan pertukaran teraju serta pimpinan Kerajaan Persekutuan dalam tempoh singkat telah memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi, kemajuan dan tadbir urus negara.


“Sebab itulah Tuanku telah menitahkan agar kepentingan negara harus diutamakan dan dijayakan melalui perpaduan dan seluruh rakyat. Saya dan parti saya akan terus mendukung titah ini.


“Keduanya, melalui Kembara Kenali Borneo, Tuanku berserta Raja Permaisuri telah melonjakkan nasionalime rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak sekaligus memperkasakan semangat perpaduan rakyat yang sudah lama menjadi identiti negara di wilayah Borneo ini.


“Menyantuni rakyat dan menyertai acara-acara kebiasaan rakyat sepanjang jelajah tersebut merupakan cetusan terbaik Tuanku buat rakyat jelata sekaligus menebalkan setia rakyat kepada raja dan negara,” kata Ewon.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page