top of page

Ewon gesa penduduk Kiau rebut peluang pelancongan sempena Tahun Melawat Sabah 2027

nabalunews
5 hours ago
3 min read

Ewon disambut mesra penduduk kampung pada majlis itu.
Ewon disambut mesra penduduk kampung pada majlis itu.

21 November 2026


KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick menggesa penduduk Kampung Kiau dan kawasan sekitarnya supaya merebut peluang ekonomi dalam sektor pelancongan susulan cadangan pembukaan laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian, sempena Tahun Melawat Sabah 2027.


Beliau berkata, pembukaan laluan baharu yang dijangka dilaksanakan tahun depan itu berpotensi memberi manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya pengusaha inap desa, pelancongan berasaskan komuniti dan koperasi, pemandu pelancong, pengusaha makanan, kraftangan serta peniaga kecil-kecilan.


“Sebab itu, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, saya mengalu-alukan pembukaan laluan baharu mendaki Gunung Kinabalu dari Kampung Kiau, Kadamaian yang dijangka dibuka pada tahun depan sempena Tahun Melawat Sabah 2027.

Ewon menerima Anugerah Khas Platinum daripada Dr.Losius. Anugerah itu disampaikan kepada bekas pelajar SK Kiau yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.
Ewon menerima Anugerah Khas Platinum daripada Dr.Losius. Anugerah itu disampaikan kepada bekas pelajar SK Kiau yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.

“Saya sangat menghargai rancangan kerajaan, khususnya kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelancongan dan Taman-Taman Sabah, untuk menyediakan laluan baharu pendakian Gunung Kinabalu dari daerah Kota Belud.


“Sebagai sebahagian daripada kepimpinan Kerajaan Sabah, saya mahu melihat Kadamaian turut mendapat manfaat, khususnya melalui pembukaan laluan baharu ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Alumni dan Kecemerlangan Murid anjuran bersama Sekolah Kebangsaan (SK) Kiau 1 dan Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau 1, di sini, kelmarin.


Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, penduduk setempat perlu membuat persediaan awal bagi memanfaatkan kehadiran pelancong yang dijangka meningkat apabila laluan pendakian baharu itu dibuka.


Katanya, antara peluang yang boleh diteroka ialah penyediaan kemudahan penginapan, perkhidmatan pelancongan, jualan makanan dan produk tempatan serta pembangunan aktiviti pelancongan pendidikan (edu-pelancongan).

Ewon menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.  Anugerah itu disampaikan kepada penduduk Kg.Kiau yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.
Ewon menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. Anugerah itu disampaikan kepada penduduk Kg.Kiau yang mencapai kejayaan cemerlang dalam kerjaya masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau 1, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berbincang mengenai potensi memanfaatkan bangunan sekolah yang tidak lagi digunakan untuk tujuan pelancongan.


“Saya dimaklumkan bahawa ada cadangan untuk melupuskan bangunan sekolah lama SK Kiau Sekiranya bangunan itu tidak lagi diperlukan oleh pihak sekolah, JKKK boleh mencadangkan supaya ia diambil alih oleh pihak pentadbiran kampung, Persatuan Alumni atau PIBG.


“Selepas itu, kita boleh bincangkan bagaimana bangunan tersebut akan diselenggara dan dimanfaatkan untuk program pelancongan, misalnya sebagai tempat penginapan atau aktiviti edu-pelancongan.

Dr.Losius menyampaikan Anugerah Ibu Inspirasi kepada Gobidah Gindai, 72, ibu Datuk Ewon. Anugerah itu mengiktiraf ketabahannya membesarkan anak-anak seorang diri di Kampung Kiau Taburi selepas pemergian suami sehingga kesemuanya berjaya melangkah ke menara gading.
Dr.Losius menyampaikan Anugerah Ibu Inspirasi kepada Gobidah Gindai, 72, ibu Datuk Ewon. Anugerah itu mengiktiraf ketabahannya membesarkan anak-anak seorang diri di Kampung Kiau Taburi selepas pemergian suami sehingga kesemuanya berjaya melangkah ke menara gading.

“Alumni SK Kiau boleh mengadakan perbincangan bagaimana membangunkan aktiviti edu-pelancongan, termasuk yang berkaitan dengan sekolah adat, untuk menarik pengunjung singgah sebelum atau selepas mendaki.


“Apabila mereka menginap dan berbelanja di sini, penduduk kampung juga akan turut menikmati hasilnya,” katanya.


Sementara itu, Ewon merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau 1, khususnya pengerusinya Dr Losius Goliong, atas inisiatif menganjurkan majlis apresiasi bagi meraikan pencapaian alumni dan murid sekolah berkenaan.


Beliau berharap penganjuran program itu dapat diteruskan sebagai platform menghargai kecemerlangan akademik, sukan, keusahawanan dan kepimpinan dalam kalangan alumni serta murid.


Antara anugerah yang disampaikan ialah Insentif Murid Cemerlang, Insentif Kecemerlangan Sukan, Insentif Pelajar Cemerlang SPM dan STPM, Insentif Melanjutkan Pengajian Tinggi serta Anugerah Tamat Pengajian Tinggi bagi peringkat Sarjana Muda dan Sarjana.

Ewon meluangkan masa menyantuni para peniaga dan membeli jualan mereka sebagai sokongan.
Ewon meluangkan masa menyantuni para peniaga dan membeli jualan mereka sebagai sokongan.

Turut disampaikan ialah Anugerah Wira Sukan, Anugerah Legasi Keusahawanan, Anugerah Usahawan Muda Berpotensi, Anugerah Kepimpinan Komuniti, Anugerah Guru Pencetus Inovasi, Anugerah Ibu Inspirasi dan Anugerah Khas Platinum.


Ewon turut mengucapkan terima kasih kepada Cement Industries Sabah (CIS) atas sumbangan bagi menjayakan program itu serta menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjurannya pada tahun hadapan.


Selepas majlis itu, beliau meluangkan masa menyantuni para peniaga di Tamu Desa kampung itu sebagai sokongan terhadap kegiatan keusahawanan masyarakat setempat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page