Agong zahir dukacita Ordinan Darurat dibatal sebelum perkenan BagindaAgong zahir dukacita Ordinan Darurat dibatal sebelum perkenan Baginda
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Agong zahir dukacita Ordinan Darurat dibatal sebelum perkenan Baginda


29 Julai 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin menzahirkan rasa amat duka cita atas tindakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal belum lagi diperkenan.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Istana Negara berkata Baginda juga kecewa bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen tidak dilaksanakan.


Usul tersebut telah diperkenankan dan dititahkan kepada dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lepas.

"Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen (Takiyuddin) pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.


"Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara," menurut kenyataan tersebut.


Kenyataan itu juga menyatakan bahawa keputusan Takiyuddin itu telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak sesuai mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Artikel 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.


"Namun, Baginda menzahirakn pandangan bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong."


Dalam kenyataan itu, Ahli-Ahli Parlimen juga didesak untuk mengutamakan kemaslahatan serta kesejahteraan rakyat dan negara semasa persidangan Parlimen yang sedang berlangsung dan mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi pelbagai masalah ketika krisis pandemik Covid-19.


"Seri Paduka Baginda juga menyeru orang-orang untuk berdoa agar negara ini selalu berada di bawah perlindungan Tuhan dan dijauhkan dari bencana serta dapat mengekang penyebaran Covid-19.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page