Ahli-Ahli Parlimen bersolidariti bersama Syed SaddiqAhli-Ahli Parlimen bersolidariti bersama Syed Saddiq
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli-Ahli Parlimen bersolidariti bersama Syed Saddiq



22 Julai 2021 Oleh Wartawan Nabalu News

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen bersolidariti memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Mereka menyatakan sokongan kepada Presiden MUDA itu melalui media sosial. Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata: “Saya terpanggil untuk menyatakan pendirian berhubung pendakwaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Syed Saddiq yang berbentuk ancaman politik”. Beliau berkata, setiap kali sidang Parlimen semakin dekat, kerajaan akan menggunakan apa saja untuk 'membuli' ahli-ahli Parlimen. “Saya juga telah dimaklumkan oleh beberapa ahli-ahli Parlimen bahawa pemerintah turut menggunakan rasuah dan ugutan untuk mendukung kerajaan gagal mereka dengan kedudukan dan perlindungan dari pendakwaan sebagai habuan. “Masa dan ketika Syed Saddiq didakwa ini sangat membingungkan dan menampakkan wujudnya salahguna kuasa. Saya menggesa agar siasatan mesti dijalankan dengan telus dan profesional. “Saya turut mahu beritahu pemimpin-pemimpin PN termasuk Perdana Menteri untuk hentikan salahguna kuasa serta terima hakikat secara bermaruah bahawa dukungan terhadap mereka semakin berkurangan di Parlimen,” kata Anwar. Sementara itu Presiden Amanah Mohammad Sabu berkata: “Saya tidak pasti adakah ia tuduhan yang benar atau tekanan politik menjelang sidang parlimen. “Saya yakin beliau akan dibela oleh pasukan peguam yang hebat. AMANAH akan bersama memberikan khidmat peguam buat beliau,” katanya. Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berkata: “Ada orang yang masuk politik untuk kayakan diri. Syed Saddiq bukan antara mereka". “Ada pula yang awalnya bersih tapi bila berkuasa mula “songlap” duit. SS (Syed Saddiq) juga bukan antara mereka. #solidaritisyedsaddiq,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu. Najwan Halimi turut mendoakan semoga urusan Syed Saddiq dipermudahkan. “Meski pun kami banyak berbeza pandangan dan pendirian dalam beberapa hal politik namun sebagai seorang sahabat, saya akan sentiasa mendukung aspirasi beliau. “Semoga beliau diberikan kekuatan untuk menghadapinya,” katanya. Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng turut memberi sokongan kepada Syed Saddiq. “Solidarities bersama @SyedSaddiq. Beginilah permainan politik kotor PN. Keadilan akan berpihak kepada mereka yang benar dan rakyat sendiri bijak menilai apa yang sedang berlaku,” katanya dalam Twitternya. Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh turut memberi sokongan kepada Syed Saddiq dan memuji beliau atas kejayaan mengutip dana RM1 juta. “Syed Saddiq gunting rambut saja pun sudah boleh kutip dana RM1 juta. Perikatan Nasional carilah dakwaan yang lebih masuk akal,” katanya. Manakala Ahli Parlimen Kuching Kelvin Yii turut memberikan komen berbentuk kiasan: “Mereka ingat mereka dapat kuburkan kita, tetapi mereka silap kami adalah benih”. Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Bagaimanapun Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

bottom of page