Wartawan Nabalu News
AIM memenangi IFN Best Islamic Microfinance Institution serta Global Good Governance Awards
2 Mei 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima pengiktirafan yang cemerlang apabila dinobat sebagai IFN Best Islamic Microfinance Institution.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan berkata, AIM juga berjaya memenangi dua anugerah di bawah Global Good Governance Awards (3G).
Jelas beliau, anugerah itu adalah bagi kategori 3G Leadership Award for Microfinance 2024 dan 3G Excellence in Women Award 2024.
"Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada AIM kerana sekali lagi diiktiraf di peringkat dunia apabila menang dua anugerah berprestij dalam industri kewangan Islam global," katanya melalui satu perkongsian di akaun Facebook beliau.
Ramanan berkata beliau bangga terhadap prestasi AIM dalam tadbir urus organisasi yang cemerlang dan peranannya dalam memperkasakan wanita tempatan.
Tambah beliau, penerimaan anugerah tersebut adalah pengiktirafan terhadap kecemerlangan, pencapaian, dan kepimpinan AIM dalam industri kewangan Islam.
Menurut Ramanan, kemenangan ini adalah hasil dari kerja keras dan komitmen padu seluruh kakitangan AIM yang didukung oleh rakan strategik yang setia memberikan kerjasama yang baik.
Pengarah Urusan REDmoney Group/IFN, Andrew Morgan, telah menyampaikan anugerah tersebut kepada Pengarah Bahagian Operasi Sabah Alwani Safiei di Address Sky View, Dubai pada 25 April lepas.
Sementara itu, bagi anugerah 3G, AIM diwakili oleh Timbalan Pengarah Urusan (Operasi) Jani Izwandy Che Jan yang menerima dua anugerah tersebut dari Pengerusi Global Good Governance Programme, Prof Humayon Dar, di Shangri-La The Fort Manila di Filipina pada 29 April lepas.
Comments