top of page
Wartawan Nabalu News

Persidangan APCMC buka peluang kembangkan pasaran produk, perkhidmatan koperasi


2 Mei 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan dalam Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasific membuka peluang besar negara ini mengembangkan pasaran produk dan perkhidmatan koperasi melalui gerakan koperasi Malaysia.


Beliau berkata, ini kerana selain menyampaikan kenyataan menteri pada persidangan itu, beliau juga berpeluang mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat dan pemimpin koperasi dari pelbagai negara mengenai pelbagai isu berkaitan keusahawanan dan koperasi.


“Saya turut mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dan pemimpin koperasi dari Jordan, Fiji, Palestin dan Nepal bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama termasuk potensi mengembangkan pasaran produk dan perkhidmatan koperasi serantau dan pelaburan melalui gerakan koperasi Malaysia dengan gerakan koperasi rantau Asia Pasifik.


“Saya juga berbangga kerana beberapa negara menjadikan Malaysia sebagai contoh dalam tadbir urus dan pembangunan gerakan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasific (APCMC) kali ke-11 yang diadakan di Laut Mati, Jordan berlangsung pada 28 April sehingga 30 Mei.


Persidangan itu dianjurkan bersama International Cooperative Alliance – Asia Pacific (ICA – AP) dengan kerjasama Jordan Cooperative Corporation (JCC) dan Kementerian Pertanian Jordan.


Matlamat utama APCMC adalah mengukuhkan hubungan kerjasama antara kerajaan dan koperasi bagi mewujudkan dasar serta persekitaran kawal selia yang menyokong kemajuan dan pertumbuhan sektor koperasi sejajar dengan prinsip ESG (Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus) dan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.


Bertemakan “Partnership between Government and Cooperatives for Cooperative Resilience, Sustainable Development and Inclusive Growth in Asia Pacific and Middle East and North Africa Region (MENA)”, APCMC ke-11 memberi tumpuan kepada usaha kerajaan dan gerakan koperasi untuk bekerjasama memperkukuh daya tahan koperasi, pembangunan mampan, dan pertumbuhan inklusif di rantau Asia Pasifik terutamanya di Timur Tengah dan Afrika Utara.


Ewon yang mengetuai delegasi Malaysia turut memberikan kenyataan menteri “Adapting to Changing Environment and Building Resiliency”.


Kenyataan tersebut memberi penekanan berhubung inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk membantu gerakan koperasi mengadaptasi perubahan persekitaran dalam membangunkan daya tahan serta kejayaan-kejayaan koperasi di Malaysia.


Antara intipati yang disampaikan adalah berkenaan dasar dan polisi kerajaan yang mesra koperasi serta sokongan berterusan kepada gerakan koperasi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar semasa seperti Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM 2030), Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021- 2025 (TransKoM 2021-2025) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKop 2030).


Ewon turut menyeru kerjasama perdagangan koperasi antara negara (Cooperative-to-Cooperative atau C-2-C) berpandukan prinsip keenam koperasi, “kerjasama antara koperasi” khususnya dalam menangani cabaran isu keterjaminan makanan dengan menekankan kepentingan tindakan kolektif bagi memudahkan proses perdagangan di kalangan koperasi-koperasi di rantau Asia Pasifik.


Pada masa yang sama, Deklarasi bersama Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik telah disokong. Deklarasi tersebut menyatakan dan mengakui peranan serta sumbangan penting koperasi di rantau Asia Pasifik kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, pengurangan kemiskinan, pembangunan sosial yang inklusif dan kelestarian alam.


Deklarasi ini juga menegaskan komitmen koperasi negara rantau Asia Pasifik terhadap agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 khususnya berkaitan pembasmian kemiskinan (SDG 1), kesamarataan gender (SDG 5), pembangunan ekonomi dan pekerjaan yang baik (SDG 8) dan mendepani perubahan iklim (SDG 13).


Selain itu, deklarasi itu juga menyatakan beberapa perkara yang akan dilaksanakan secara bersama, antaranya libat urus antara kerajaan dan koperasi untuk memahami matlamat bersama, cabaran, dan peluang untuk kerjasama serta mencipta persekitaran yang mesra pembangunan koperasi.


Deklarasi ini akan mengambil kira beberapa cadangan yang dikemukakan oleh setiap wakil negara dan dipinda untuk dimeterai secara rasmi selepas persidangan berakhir.


Majlis penutupan Persidangan APCMC ke-11 disempurnakan oleh Menteri Pertanian Jordan, Tuan Yang Terutama Khaled Mousa Al Huneifat.


APCMC ke-11 disertai oleh 18 buah negara termasuklah Malaysia, Jordan, Fiji, India, Jepun, Nepal, Palestin, Papua New Guinea, Arab Saudi, Thailand, UAE, Iraq, Kuwait, Lebanon, Syria, Mesir, Libya dan Morocco.

Comments


bottom of page